Saturday, February 28, 2015

Budapest: Marco Polo Hostel


Rating:
Pencarian hostel untuk Budapest mudah, disebabkan terdapat banyak hostel bagus di sekitar Budapest. Cari punya cari, entah kenapa aku memilih Marco Polo. Mungkin kerana wifinya, atau kerana lokasinya, atau mungkin juga sebab terpengaruh dengan rating dari pengembara-pengembara yang lain yang pernah ke hostel itu.


Harga:
Semalam hanya 14€ (sekitar RM56) untuk satu katil dalam bilik dengan 2 katil (katil jenis single). Jadi, untuk 2 malam, harganya 28€ (RM112). Ini sudah murah bagi aku. Kalau korang nak murah lagi, ada yang satu bilik 8 katil. Tapi, kali ni aku dan Kak Ana malas nak bersosial lebih-lebih. Kitorang nak rehat yang berkualiti. Chewah!

Seperti biasa, tips nak hostel/hotel murah senang saje kalau di Barat ni. Pegilah masa musim luruh. Memang murah. Nasib lagi baik, hostel akan upgrade bilik secara percuma kalau hostel tu memang betul kosong.


Lokasi:
Pengalaman paling beharga bagi pengembara, antara lain ialah mencari sesuatu tempat. Biasanya, tempat pertama dalam senarai yang wajib dicari ialah hostel. Kalau hostel tu memang terletak di tengah bandar dan kawasan tumpuan, mungkin senang nak cari. Tapi kalau hostel tu kat ceruk mana ntah, atau walaupun kat tengah bandar tapi tersepit-sepit antara lorong kecik yang beratus-ratus; memang berpusinglah kita mencarinya.

Boleh dikatakan semua hostel-hostel akan memberikan peta kedudukan hostel masing-masing. Malah nak canggih lagi, ada yang bagi koordinat. Macam biasalah, pastikan korang print peta tu dengan jelas. Marco Polo memang bagi peta, malah siap bagi arahan dalam email mereka kepada aku, untuk ambik Metro nombor berapa, berhenti di stesen mana dan beberapa lagi pandu arah yang banyak membantu pencarian kami. Usaha mengesan kedudukan hostel ni pun Alhamdulillah agak  mudah.

Dipendekkan cerita, Marco Polo terletak di kawasan bandar, malah di tengah-tengah bandar dan senang untuk jalan kaki ke kedai-kedai 24 jam dan juga mall. Ada banyak restoren makanan segera bagi yang boleh makan (untuk kawan-kawan bukan Islam) dan dekat dengan stesen Metro. Jarak dari hostel ke stesen utama Keleti Palyaudvar pun taklah berapa jauh. Aku dan Kak Ana pernah jalan kaki ke sana.


Penilaian akhir:
Senang cakap, aku dan Kak Ana memang puas hati dengan biliknya. Inilah antara bilik terbaik yang kami dapat sepanjang trip Eropah. Bilik sederhana luas dengan 2 katil single. Ada TV, heater, lampu membaca untuk kedua-dua katil, meja ala ala konsul dan satu wardrobe tinggi. Bilik air en suite (dalam bilik), bersih, ada power shower dan taklah sempit sangat. Bilik pun ada tingkap dan dapat cahaya matahari. Kami puas hati.

 
 
 
 
 
 
 

Staff tak friendly, tapi bolehlah kalau nak tanya arah dan mintak tolong panggilkan teksi. Seperti kebanyakan hostel, ada disediakan banyak brochures dan kad-kad kecil mengandungi maklumat tempat-tempat menarik sekitar Budapest dan Hungary. Ambik je mana-mana yang berkenan. Aku ambik untuk rujukan. Berbalik pada staff tadi, lepas check in dan bayar hostel, dia akan bagi password wifi dan bagitahu kat mana kitchen dan komputer disediakan. Peraturan dalam hostel ni senang:

1)      Jangan buat bising selepas jam 10 malam.

2)      Jangan bawa haiwan peliharaan ke bilik.

3)      Jangan merokok dalam bilik. Bilik bebas rokok dan ada sensor. Kalau merokok juga, sensor akan mengesan asap, alarm akan berbunyi dan alarm ni dah link terus ke balai bomba. Bomba akan datang dan segala kos pembersihan perlu ditanggung oleh penghuni bilik. Untuk pengetahuan korang,, ini memang betul. Bukan diorang saje main ugut-ugut. Sebab ada satu malam tu, bilik sederet dengan kami merokok dalam bilik menyebabkan sensor mengesan asap dan alarm berbunyi kuat gile. Dalam 10 minit macam tu, bomba sampai. Memang kena lah penghuni tu. Lepas bayar semua penalty, diaorang dihalau keluar dari hostel. Padan muka!


Kitchen hostel ni sangat kecik. Takde kerusi langsung untuk duduk. Ada air panas dan fridge untuk masak dan simpan makanan. Aku sekadar ambik air panas untuk mee segera kami dan rendam Brahims. Bekas nak rendam memang kami dah bawak dari Malaysia, sebab was-was dengan kebersihan peralatan pinggan mangkuk dan cutlery. Breakfast tidak disediakan ye.

Wifi hanya ada di lobi dan tingkat bawah hostel. Hostel ni tinggi, dalam 7 tingkat. Bilik memang takde wifi walaupun dalam laman web tak dinyatakan sedemikian. Itulah yang membuatkan kami baran, sebab pilihan hostelbagi setiappengembara ni suka tak suka, memang kena berpaksikan kepada kemudahan internet dan wifi. Jadi di situ, kami tertipu.

Satu lagi yang paling tak best kat hostel ni, ialah bising. Hostel ni terletak bersebelahan dengan kelab malam dan kawasan hiburan. Jadi, memanglah bising. Kami duduk di tingkat yang tinggi jugak, tapi masih dengar bunyi bising. Ditambah pulak dengan penghuni bilik lain yang balik ke bilik tengah malam dan dalam keadaan mabuk-mabuk. Memang mengganggu ketenteraman tidur. Tapi, macam peraturan hostel yang aku nyatakan tadi, kalau jiran lain bising- boleh call receptionist kat bawah atau turun sendiri dan repot kata diorang bising. Hostel pasti akan ambik tindakan, sebab mengganggu ketenteraman awam.


Pendekata, ada yang best da nada yang tak best kat hostel ni. Tapi kalau datang lagi ke Budapest, aku tak nak dah duduk sini. Aku akan cari tempat lain, mungkin kat area Andrassy Avenue. Huhuhu.

Aku bagi 3 star untuk Marco Polo Hostel.

 

Budapest: Mencari Jalan Pulang



Hari Pertama: 22/11/2012
Hostel Marco Polo jauh kami tinggalkan di belakang. Dengan berbekalkan beberapa keping tiket oren Metro yang kami dah beli siap-siap, aku dan Kak Ana mengambil Metro dari stesen berhampiran hostel iaitu stesen Blaha Luj ter menuju ke tengah bandar untuk meneroka bandar Budapest.
 

Itinerari:
Parliament, Chainsbridge, Hard Rock Café Budapest, Christmas Market dan kawasan yang sama sekitar dengannya.
 
Pandu arah:
Nama stesen Metro untuk Parliament dan kawasan sekitar sehinggalah ke jambatan Chainsbridge ialah Deak Ferenc srt. Kalau dari hostel kami (stesen Blaha Luj ter), terus naik Metro dan turun di stesen nombor dua.
 
 

Bangunan Parlimen Hungary (Országház)
Entrance fee: Percuma
Camera: Tak pasti sebab kami tak masuk.
 
Tarikan:
Dibina pada tahun 1885 dan siap pembinaan sekitar 1904, bangunan ini menggabungkan senibina Gothic Revival dan Renaissance Revival. Bangunan yang telah berjaya mengharungi Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, merupakan tempat perhimpunan nasional Hungary, sepertimana juga fungsi Parlimen di Malaysia. Bangunannya cantik dan merupakan salah satu daripada bangunan pemerintahan paling tertua di Eropah. Parlimen ni adalah landmark bagi negara Hungary dan termasuk dalam senarai wajib pelancong-pelancong kalau diorang sampai ke Budapest ni. Terletak di Dataran Lajos Kossuth, betul-betul bersebelahan dengan Sungai Danube. Setakat hari ini, bangunan Parlimen ini merupakan bangunan terbesar dan tertinggi di Budapest. Untuk masuk, korang kena beratur dengan sangat panjang. Masa aku dan Kak Ana tiba, hari dah nak petang. Tengok je barisan yang panjang, maksud aku-sangat-sangat panjang sampai ke jalanraya, membuatkan aku dan Kak Ana sekadar berpuas hati bergambar sakan di luar dan di tepi Parlimen. Dari risik-risik kami, rupanya yang beratur ni memang ada yang tak sempat masuk untuk hari itu sebab musim luruh kebanyakan muzium dan tempat-tempat tarikan pelancong ditutup awal. Jadi, diorang beratur jugak untuk ambil tiket dan masuk pada hari esok. Aku tak pasti samada sebarang bayaran dikenakan atau tidak, tapi berdasarkan cakap-cakap penduduk tempatan yang kami sempat tanya, katanya percuma. Jadi, kalau datang Budapest, make sure datang ke Parlimen pagi untuk beratur ambik tiket percuma.
 

Dari Parlimen, aku melihat bangunan di sekeliling. Bangunan berhadapan dengan Parlimen adalah Ethnographic Museum Budapest, yang menempatkan koleksi barangan harian etnik-etnik Hungary sejak dari kurun ke 19. Aku tak masuk ke muzium ni sebab telahpun ditutup masa kami sampai tu. Selain daripada muzium, ada beberapa monument yang tersergam di Dataran Lajos Kossuth berhadapan Parlimen. Setiap monument ada simbolik tersendiri.
 
Kossuth Memorial


Antara monument yang ada ialah Kossuth Memorial; yang merupakan monument awam didedikasikan khas untuk bekas Hungarian Regent – President Lajos Kossuth. Lajos Kossuth adalah seorang peguam, jurnalis, ahli politik dan Regent-President kepada Kerajaan Hungary semasa Revolusi tahun 1848-49. Beliau juga dikenali sebagai pejuang keamanan dan bapa demokrasi Hungary. Monument ni macam Tugu Negara la lebih kurang.  
 
Memorial Revolusi Hungary 1956
Monumen lain ialah tugu Revolusi Hungary 1956 bagi mengingati revolusi spontan seluruh negara menentang kerajaan Hungarian People’s Republic dan polisi Soviet. Revolusi ini berlangsung dari 23 Oktober sehingga 10 November 1956. Simbol terkenal Revolusi 1956 ialah bendera Hungary dengan lambang komunis di tengah-tengah bendera dibuang, menjadi bendera tersebut berlubang bulat di tengah. Inilah yang kekal menjadi bendera Hungary sehingga ke hari ni.
 
Monumen Francis II Rakoczi
 


Sebuah lagi monument yang sakan aku dan kak Ana bergambar ialah monument Francis II Rakoczi. Ini pun sorang lagi tokoh Hungary, taraf Datuk Maharajalela di Pasir Salak ataupun Tok Janggut di Kelantan, boleh juga Datuk Bahaman di Pahang mahupun Rentap di Sarawak. Francis II Rakoczi hidup sekitar 1676 dan meninggal dunia sekitar 1735 di Tekirdag yang ketika itu merupakan salah satu kawasan di bawah pemerintahan empayar Uthmaniyyah. Sumbangan terbesar Pak Francis ni adalah mengetuai pemberontakan Hungary menentang Habsburgs, sebab dia ni adalah putera Kingdom of Hungary, putera Transylvania dan juga ahli Order of the Golden Fleece. Muka Pak Francis ni turut diabadikan dalam duit kertas Hungary. Maklumlah, hero Hungary la katakan. Memang garang muka dia, siap dengan misai melintuk.


 
 
Monumen Istvan Bilbo
 


Dari Parlimen, kami menapak menghala ke Sungai Danube di belakang Parlimen. Di tepi Sungai betul-betul kat belakang Parlimen, ada satu bust atau patung separuh badan seorang lelaki tua berkaca mata sambil membaca buku. Dia adalah Istvan Bibo; peguam terkenal Hungary, ahli politik, penjawat awam dan penganalisa politik. Memang di Budapest ni, diorang suka sangat mengingati tokoh-tokoh dengan monument atau patung. Banyak duit diorang ni.
 
Monumen Jozcef Attila
 


Kami menapak lagi ke depan menghala ke Chainsbridge iaitu jambatan yang menghubungkan bahagian Buda dan Pest merentangi Sungai Danube. Aku dan Kak Ana jumpa satu lagi monument yang unik sebelum kami melintas jalan menuju ke tepi Sungai Danube. Monumen terakhir ni dalam bentuk sorang lelaki yang duduk di anak tangga. Tangan kiri memegang topi dan tangan kanan direhatkan atas lutut sambil mukanya berkerut merenung jauh. Dia adalah Jozcef Attila, pemuisi tersohor Hungary yang disayangi ramai. Sayangnya dia ni menghidap sakit mental iaitu ‘paralysing depression’ yang akhirnya meragut nyawanya sendiri. Abang Jozcef ni akhirnya membunuh diri dalam tahun 1937 pada umur 32 tahun; dengan terjun di hadapan keretapi yang terletak tak jauh dari monument tersebut. Depress rupanya Abang Jozcef ni. Kasihan..
 
Szechenyi Chainsbridge
 
 
 
 

Merupakan jambatan yang menghubungkan antara Buda dan Pest yang dipisahkan oleh Sungai Danube. Jambatan ini dikawal 2 ekor singa batu di bahagian Buda dan 2 ekor lagi singa batu di bahagian Pest. Mula dibina pada tahun 1840, jambatan ni musnah teruk semasa Perang Dunia Kedua akibat dari pengeboman tanpa henti semasa Siege of Budapest.
 
 
Setelah perang tamat, jambatan ini dibuka semula pada tahun 1949 hingga ke hari ini. Kami berjalan kaki menyeberang jambatan ni ke belah sana dan pusing balik ke sambil ambik mood romantic Sungai Danube. Teringat muzik klasik tersohor ‘The Blue Danube’ yang diilhamkan dari keindahan Sungai Danube oleh composer Austria Johann Strauss II. Jemputlah tengok gambar jambatan ni yang aku ambik dari beberapa posisi berbeza di sekitar Budapest. Memang cantik, terutamanya waktu malam. Korang boleh jugak pegi google ‘The Blue Danube’ kat Youtube untuk ambik mood romantic Danube. Hahaha..
 


 

 
 
 

Akibat daripada berjalan kaki tak henti dari petang tadi sampai ke malam, tak sedar perut dah menjerit lapar. Maklumlah, kami isi perut dengan Maggi je kat hostel. Mana cukup, tenaga dah banyak guna berjalan kaki. Hasrat nak menjengah ke Shoes Memorial di tebing Sungai Danube kami tangguhkan ke esok hari, sebab jalan ke sana kena menyusur balik ke arah kami mula-mula datang tadi. Tak sanggup dah, suhu pun makin sejuk. Dari jambatan, kami meneruskan ke destinasi wajib iaitu mencari Hard Rock Café Budapest.


 
 
Hard Rock Café Budapest


 
Pandu arah:
Untuk ke Hard Rock, sangat senang. Kalau naik Metro, turun di stesen yang kami turun petang tadi, iaitu Deak Ferenc ter (deak Ferenc street). Alamat Hard Rock yang aku print dari Malaysia pun memang tertulis di Deak Ferenc street.
 

 
Pasar Krismas Budapest
Kalau korang pegi masa musim luruh bulan Nov macam aku, kawasan sekitar Hard Rock ni sangat meriah sebab menempatkan pasar Krismas terbesar dalam Budapest. Ada pokok Krismas besar gila dan banyak sangat kedai-kedai menjual segala bagai barang daripada makanan minuman (opkos la kita tak boleh makan minum kat sini-tak halal kiah oi!), pottery kecik besar untuk cenderamata atau hadiah Krismas, patung-patung seramik, kad-kad ucapan yang sangat cantik dan kreatif, t-shirt dan pelbagai jenis pakaian, manisan dan kuih muih tradisi Hungary, stationeries, barang-barang dapur, berpuluh-puluh jenis madu yang tak pernah aku jumpa, pinggan mangkuk dengan corak terkenal Hungary dan macam-macam lagilah. Sayangnya madu aku tak dapat beli sebab susah nak bawak sepanjang kembara kami yang baru sampai pitstop ketiga ni.
 
 
 




















 
Sebelum masuk ke Hard Rock, aku dan Kak Ana menabur duit dulu kat pasar Krismas ni. Aku berani beli barang-barang yang kecik molek je supaya senang disumbat ke dalam backpack aku. Kat tengah-tengah pasar ni, ada dibuat pentas kecik molek untuk sesiapa artis tempatan yang nak menyanyi atau main muzik. Macam buskers la jugak. Tapi orang Budapest memang sporting. Diorang siap berjoget sama dengan artis-artis yang buat persembahan tu. Muzik yang dimainkan memang muzik tradisional Hungary. Layan jugak muziknya sebab sedap kat telinga.
 


 
Setelah aku dan Kak Ana bebas dari sumpahan pasar Krismas, kami masuk pulak ke Hard Rock Budapest untuk meneruskan aktiviti penjalaan di Hard Rock.





 

Drama ‘Lost’
Selesai ‘menjala’, aku dan Kak Ana barulah mula sedar perut masing-masing dah menjerit mintak diisi. Kami mencari kedai sandwich dan berjaya beli sandwich sayur. Jadilah. Dari situ, kononnya konfiden cari jalan balik ke stesen Metro Deak Ferenc ter. Sekali silap naik Metro ke arah bertentangan dan dengan keadaan masing-masing yang dah lunyai berjalan dari tengahari, kami redha aje lah turun kat mana-mana ntah dan menyeberang ambik Metro dari arah yang bertentangan. Nasib tadi dah beli siap-siap beberapa keping tiket Metro extra. Kalau tak, mana pulak nak mencari kedai suratkhabar tengah-tengah malam macam tu.

Kami ditakdirkan pulak berhenti di stesen Metro yang salah dan dek kerana sayang nak bazirkan tiket Metro yang mahal tu, kami sepakat berjalan kaki cari jalan balik dengan berpandukan peta yang ada. Dalam sejuk malam November di tengah-tengah bandar Budapest dekat nak pukul 9 malam tu, aku dan Kak Ana menabahkan hati berjalan mencari jalan balik ke Marco Polo. Sepanjang jalan, memang kami tak bercakap banyak.
Satu, sebab dah memang penat gile.
Kedua, sebab perut macam lapar balik.
Ketiga, sebab sejuk.
Keempat, sebab takut dikacau orang-orang mabuk tak berumah yang dah mula keluar dari lorong-lorong gelap mana ntah.
Kelima, bengang sebab sesat.
 
Hahaha. Dalam malam November yang sejuk tu, aku barulah nampak keindahan bangunan-bangunan bandar Budapest. Boleh dikatakan semua bangunan yang ada adalah bangunan lama yang berumur berkurun-kurun agaknya. Rasa macam dalam cerita lama pun ada. Aku nampak jugak kedai-kedai buku yang penuh dengan buku sampai ke tingkap ala-ala old skool gitthew. Sayangnya, hari dah malam sangat dan kedai-kedai tu pun dah tutup. Aku ambik je la gambar dari luar. Aku tau, esok kalau cari pun, konfem tak jumpa dah.

 
 

 
Setelah menapak lebih kurang setengah jam dan tersesat dalam 1 km kurang lebih dari laluan sebenar, akhirnya aku dan Kak Ana berjaya menemui Marco Polo. Alhamdulillah. Hati aku berdetik, mungkin ini balasan sebab aku ada berfikir yang bukan-bukan kat para pengemis di stesen Keleti Palyaudvar pagi tadi masa kami mula-mula sampai ke Budapest. Redha ajelah..
 

 
‘Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupamu dan harta kekayaanmu, akan tetapi ia memandang kepada hatimu dan perbuatanmu’.
-Hadis Riwayat Muslim

Budapest: Degup Jantung Eropah



Negara: Hungary
Ibukota: Budapest

Bandar-bandar lain: Debrecen, Miskolc, Szeged, Pecs, Gyor, Nyiregyhaza, Erd, Eger, Kecskemet, Szekesfehervar, Szombathely, Szolnok, Tatabanya, Kaposvar, Veszprem, Bakescsaba, Zalaegerszeg, Sopron dan Nagykanizsa.
Kadar Tukaran Wang:
1usd = 267.99 Ft/HUF (Hungarian Forint)
RM1 = 73.46 Ft

Lokasi:
Kota Budapest terletak di tengah-tengah benua Eropah. Ia turut dikenali dengan nama jolokan Pearl of Danube. Terdapat kira-kira 3.3 milion penduduk di bandar metropolitan ini. Budapest yang terletak di tengah-tengah Carpathian Basin ini, berada di laluan purba yang menghubungkan perbukitan Transdanubia dan Dataran Besar Eropah. Sungai Danube mengalir di tengah-tengah Budapest dan membahagikan bandar ini kepada dua bahagian iaitu Buda yang berbukit-bukit dan Pest yang mendatar. Budapest mempunyai banyak gua batu kapur dan dolomite. Ini menjadikan Budapest satu-satunya ibukota di dunia yang mempunyai mata air panas, yang mencecah suhu tertinggi 58°C. Tidak hairanlah Budapest dikenali seantero Eropah dengan gelaran Capital of Spas and Thermal Baths.

 


Matahari suam-suam kuku Eropah menyambut kedatangan aku di bandar Budapest, ibukota negara Hungary. Badan lenguh-lenguh ekoran daripada perjalanan berbelas jam malam sebelumnya dari Brasov. Budapest yang merupakan antara sisa serpihan empayar Astro-Hungary, merupakan salah sebuah bandar paling besar di benua Eropah ini. Sejarahnya panjang. Kisahnya penuh warna warni. Budapest merupakan satu-satunya bandar yang menguasai kedua-dua belah Sungai Danube; iaitu di sebelah Buda dan Pest. Menariknya, bandar ini juga pernah berada di bawah pemerintahan empayar Uthmaniyyah atau Ottoman mengikut panggilan glamer orientalis Barat; selama lebih kurang 150 tahun. Sayangnya, sikit sangat tinggalan pemerintahan Uthmaniyyah yang tertinggal di kota Budapest ini, mahupun di seluruh negara Hungary.

 



Pengangkutan di Budapest:
Seperti di mana-mana negara Eropah, Hungary juga ada sistem keretapi bawah tanah yang tersendiri, atau kini dipanggil Metro. Sistem Metro di Budapest ini merupakan sistem keretapi bawah tanah keempat tertua di dunia. Hebatkan? Tiga lagi stesen bawah tanah lain ialah London Underground yang dibina pada tahun 1863, keduanya ialah Athens Metro pada tahun 1869 dan yang ketiga ialah Landasan Mersey di Liverpool yang dibina pada tahun 1886. Tak hairanlah aku jakun semacam kan. Korang bayangkan, sistem Metro ni berjaya menempuh 2 Perang Dunia dan masih wujud sampai ke hari ni.

 


Tiket Metro sehala/single ticket: 320 Ft (bersamaan RM4.40) *mahalkan?

 


Tiket Metro ke mana-mana destinasi ke serata Budapest adalah perjalanan sehala bernilai 320 Ft. Kalau nak beli banyak-banyak keping pun boleh. Tiket ni tiada fix date. Kami beli 2-3 keping terus sebab tiket ni hanya didapati di kedai-kedai suratkhabar terpilih yang selalunya hanya ada di stesen-stesen Metro. Patut pun sekeping tiket sehala ke mana-mana pun, RM4.40. Kat situ je, diorang dah pulang modal. Cess..

 

 
 
Berbalik kepada tibanya aku dan Kak Ana di stesen keretapi besar Budapest yang dipanggil Keleti Palyaudvar, kami sekali lagi terhutang budi dibelanja tiket metro oleh Kim, rakan backpacker dari US yang kami temui di stesen keretapi Brasov malam sebelumnya. Terima kasihlah pada rahmat-rahmat kecil sebegini yang selalu ada bila aku dan Kak Ana sesak teraba-raba. Tujuan pertama pagi tu ialah ke mesin ATM, mengeluarkan matawang Hungarian Forint. Duit Florint ni agak mahal. Kami main hantam saja berapa yang withdraw. Sampai hostel baru kira balik.


Melangkah kaki ke luar stesen, aku melihat kehidupan untuk hari itu baru bermula. Ratusan manusia bergegas ke destinasi masing-masing diselang seli dengan kehadiran peminta sedekah yang siap pakai papantanda besar gantung kat leher, dengan tulisan dalam bahasa Hungary. Orang Hungary menggelar bahasa Hungary sebagai Magyar, manakala bahasa Inggeris merujuk Magyar sebagai kumpulan etnik Hungary. Jadi, aku ikut orang Hungary la ye. Aku panggil, bahasa Hungary. Makanya, memanglah aku tak paham sepatah pun apa yang diaorang tulis kat kadbod di leher masing-masing tu. Nak ambik gambar, macam kurang sopan pulak. Aku membuat kesimpulan berdasarkan cara diorang merayu-rayu sambil membuat beberapa bahasa badan, bahawa kadbod itu bermaksud, kami tiada pekerjaan, hidup susah, tiada makanan untuk dimakan, musim sejuk semakin menghampiri dan kami tidak berumah. Ha, korang setuju tak? Aku rasa itulah maksudnya secara am. Ini disokong dengan keadaan ekonomi negara-negara Eropah yang tak berapa memberangsangkan pada tahun aku datang tu, 2012. Ingat, masa tu ekonomi Greek hampir lumpuh gara-gara implementasi matawang Euro bagi menggantikan matawang asal Greek, iaitu Greek drachma . Ini semua adalah harga yang perlu dibayar oleh negara-negara baru membangun Eropah untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU). Macam di Romania la. Aku dan kak Ana lekas-lekas mencari tunnel turun ke bawah untuk ke stesen Metro. Bukannya kedekut tak mahu bagi duit kat diorang ni, tapi hati aku jadi sebal bila mengenangkan ramai lagi anak-anak Ethiopia merangkak kebuluran mencari cebisan makanan, dengan badan dah tinggal rangka, kalau nak dibandingkan dengan mereka-mereka ini. Tapi, siapalah aku untuk menghukum. So, the best way is to move on with the crowd, sambil membuang jauh-jauh persoalan kemanusiaan yang mula memaksa aku bersikap membanding-bandingkan.

 


Dengan tiket Metro oren di tangan, aku dan Kak Ana turun ke stesen Metro bawah tanah Budapest. Eskalator turun bapaklah panjangnya, gayat wei. Lagi panjang dan tinggi dari LRT Masjid Jamek. Terserlah keperakan aku di situ. Sempatlah aku ambik gambar pakai hp. Nak bawak keluar kamera, macam malu. Dahlah muka kami berdua kelat-kelat disebabkan tak mandi lagi. Hahaha.

 


Metro sampai, kami pun naiklah menuju ke hostel. Hostel yang dipilih ni, aku temui dalam Hostel Bookers. Marco Polo Hostel. Dari stesen utama Keleti pu (nama stesen Metro di Keleti Palyaudvar), kami turun di perhentian pertama selepasnya iaitu stesen Blaha Luj ter. Dari situ, kami menapak ikut peta yang dibekalkan hostel melalui email, mencari Marco Polo di deretan bangunan-bangunan tinggalan Perang Dunia Pertama, malah mungkin lebih tua daripada itu. Kalau diperhatikan, mana-mana stesen Metro atau nama jalan, mesti ada ayat ‘ter’ kat hujung. Rupanya, ‘ter’ tu maksudnya ‘jalan’. Alhamdulillah, hostel jumpa dalam masa setengah jam selepas turun dari Metro.

Plan asalnya, nak berehat sekejap sebelum menjelajah bandar Budapest. Tapi bila dah sampai ke bilik, mandi, unpack barang letak dalam lemari, kami terus mencari kitchen nak masak mee segera Maggi. Sepanjang jalan tadi dari stesen ke hostel, aku memang tak nampak makanan halal. Memang kami dah jangka pun, sebab tu kami dah bersedia dengan Maggi cup dan Brahims. Disebabkan keroncong dah mula berbunyi dari dalam perut aku dan Kak Ana, kami terjah ke kitchen hostel ni yang tersangatlah kecik. Ada air panas, masak Maggi dan makan kat situ jugak. Punyalah sedap kepanasan maggi tu masuk ke anak tekak kami. Puh..undescribable. Setelah kenyang, kami cancel plan nak rehat dan terus sarung kasut menuju ke bandar Budapest yang dari tadi melambai-lambai aku dan Kak Ana.

 
Makanan:
Sepanjang 3 hari 2 malam di Budapest, makanan ruji kami ialah mee segera Maggi. Pastri di sini semuanya nampak sedap, tapi disebabkan was was dengan jenis minyak yang digunakan dan inti yang ada dalam pastry tersebut, terpaksalah beli croissant kosong yang dijamin kehalalannya. Kami redha dengan croissant kosong yang tiap-tiap pagi aku dan Kak Ana beli tanpa gagal bersama coklat panas atau cappuchino. Penduduk Budapest menggelar cappuchino dengan nama manja, ‘capucci’. Selain itu, aku turut membeli vegetarian sandwich. Di dalam sandwich sayur ni ada pelbagai jenis sayur dan keju; order aku biasanya semua sayur dengan extra tomato dan keju pilihan semestinya mozzarella. Disalut dengan sos paket yang aku bawak khas dari Malaysia (alaa..sos yang kita dapat dalam paket kalau pegi KFC tu). Berguna sangat benda-benda kecik macam tu dalam memberikan kesedapan kepada makanan sepanjang masa kitorang di Eropah. Kalau nak tahu, orang Eropah ni memang tak makan pedas. Diorang takde sos cili pun. Yang ada tu ketchup yakni sos tomato yang bapaklah masam. Tak sedap langsung. Jadi, sebagai tips, bawaklah paket-paket sos dari tanahair ye. Kalau yang nak pegi lama tu, boleh aje tabahkan hati bawak sebotol sos cili. Tapi kami tak bawak sebab takut pecah dalam bag, maklum ajelah bag kami ni main campak-campak aje. Itulah saje menu makanan kami sepanjang di Budapest. Takde makan besar langsung di Budapest.





Kos makanan:
Untuk panduan dan serba sedikit gambaran perbelanjaan makan, aku kongsikan harga makanan yang kami selalu makan sepanjang di Budapest. Harga mungkin dah naik sekarang, tapi sekurang-kurangnya korang dapat imagine lah berapa kos kasar untuk makan di Budapest.

 



Croissant (kosong tanpa inti/filing)                                          155 Ft    (RM 2.10)

Mineral water/Nestea juice                                                        250 Ft    (RM 3.40)

Hot Nescafe (vending machine, in cup)                                     240 Ft    (RM 3.30)

Coklat panas (in cup)                                                                  240 Ft    (RM 3.30)

Sandwich sayur-sayuran                                                             450 Ft    (RM 6.10)

Toilet (toilet besar)*                                                                     250 Ft    (RM 3.40)

 



*Kos toilet pun aku sertakan, sebab kalau dah makan minum, mesti nak membuang,kan. Toilet ada 2 jenis. Satu macam bilik bulat sebuah kat tepi-tepi jalan dan satu jenis lagi toilet besar yang ada ruang rehat di dalamnya. Kos berbeza. Untuk toilet yang bulat tu, aku tak pasti sebab aku tak pernah masuk. Aku hanya pernah guna toilet yang jenis kedua sahaja, sepanjang di Budapest. Sememangnya kami jarang nak ‘membuang’ sepanjang berjalan, balik hostel baru ‘membuang’. Jadi, harga yang aku nyatakan di sini ialah untuk toilet jenis kedua. Harganya sama dengan harga sebotol mineral. Mesti korang rasa macam mahal macam hape. Ye, aku setuju. Tapi nak buat macamana, dah itu harga diorang tetapkan. Kebersihan toilet ni gred AA. Hahaha, sebab dalamnya selesa dan bersih, terletak kebanyakannya di bawah tanah. Kalau nampak macam ada tangga ke bawah, itu tak semestinya stesen Metro ye. Besar kemungkinan kalau terletak kat tepi bangunan atau kat taman-taman bunga, itulah tandas awam. Di dalamnya siap ada macam lobi, heater, vending machines untuk hot drinks dan makanan simple macam croissant dan sandwich. CCTV mengawasi setiap pergerakan kat dalam tu, kecualilah dalam tandas. Jadi, korang boleh berehat sekali la dalam tu kalau penat dan sejuk kat atas sana. Makanya, berbaloilah 250 Ft sekali masuk tu.

 



Akhir kata, 3 hari 2 malam di Budapest secara jujurnya memang tak cukup. Banyak sebenarnya kawasan-kawasan dalam Budapest ni yang tak sempat diterokai aku dan Kak Ana. Ada banyak kedai-kedai buku retro yang hanya sempat aku jeling sepanjang kami berjalan kaki sekitar Budapest. Di samping itu, ada banyak opera dan persembahan orchestra yang diiklankan di dinding-dinding bangunan yang tak sempat langsung kami saksikan. Bukan kerana wang, bukan kerana malas, tapi sebab masa yang memang sangat jeles dengan kami. Hari terakhir di Budapest pun tak sempat dinikmati semaksimumnya sebab keretapi kami ke Prague bertolak awal pagi seawal jam 6 dari Keleti Palyaudvar. Apa boleh buat, kekangan masa memaksa kami redah mana yang sempat dan untuk banyak lagi kisah tak terungkap Budapest, panjang umur, aku datang lagi!

 



To my mind, the greatest reward and luxury of travel is to be able to experience everyday things as if for the first time, to be in a position in which almost nothing is so familiar it is taken for granted.

–Bill Bryson