Sunday, March 1, 2015

Budapest: Jalan-jalan Keliling Kota



Hari Kedua: 23/11/2012
 
Disebabkan keterlanjuran berjalan kaki semalam, hari kedua di Budapest bermula sedikit lewat. Sekitar 9.30 pagi baru aku dan Kak Ana keluar dari hostel menuju destinasi hari kedua; iaitu membeli tiket keretapi ke Prague untuk esok pagi dan percubaan mengcover sebanyak yang mungkin tempat di Budapest. Kami ada jugak hajat nak mandi air panas kat kolam air panas termal yang terkenal di Budapest. Namun hasrat terpaksa ditunda ke masa akan datang yang entah bila akan tiba, sebab musim luruh ni rumah mandi tu ada masa buka dan tutup. Kami tak dapat nak meet the opening hours bagi rumah air panas tu.
 
Insiden Jalan Kaki Berganti-ganti
Entah kenapa, pagi kedua kami mulakan dengan berjalan kaki ke stesen utama Keleti Palyaudvar. Sebabnya mungkin aku dan Kak Ana rasa stesen tu dekat je dengan Marco Polo (sebab jarak hanya satu stesen). Terbukti memang dekat, tapi banyak sangat traffic lite yang kena lintas dan jalan-jalan yang bersimpang siur hampir mengonfiuskan aku. Sesampai di Keleti, kami ke kaunter tiket keretapi. Makcik yang jaga kaunter mukanya terus masam mencuka bila nampak aku dan Kak Ana. Bila bercakap melayan pertanyaan kami, ternyata kurang hajau makcik ni. Dahlah bahasanya kasar dalam broken English, ditambah dengan jelingan tajamnya terutamanya ke arah kepala kami yang ‘bertudung’ dan seterusnya nada percakapan tinggi melayan kami macamlah aku dan Kak Ana mintak duit dia nak beli tiket. Dipendekkan cerita, makcik kurang adab ni bagitahu kitorang, tiket keretapi ke Prague berharga 49€ sehala. Terkejut beruk la aku dan Kak Ana sebab mahal kot. Dekat nak RM200 satu tiket. Kitorang bajet dalam RM80-100 je. Makcik kurang adab tu siap bagitahu, kalau nak murah naik bas Euroline. Dia suruh pegi beli tiket bas Euroline kat Arena Square yang terletak dekat nak 650 meter dari Keleti. AKu dan Kak Ana merasakan RM200 terlalu mahal untuk jarak perjalanan 6 jam. Kalau ikutkan maklumat yang aku cari sebelum ni, tiket Euroline jauh lebih murah dari tiket train. Disebabkan perut belum diisi, aku dan Kak Ana mencari makan pagi dulu. Bila selesai makan, aku dan Kak Ana dengan berat hati memulakan perjalanan kaki solo kami ke Arena Plaza untuk mencari tiket Euroline. Secara amnya, memanglah Arena Plaza yang terletak betul-betul di belakang Keleti, tapi itu kalau korang jalan lurus sejauh 650 meter la.
 

antara monument-monument yang terdapat di Bandar Budapest.
 
 
Dipendekkan cerita, Arena Plaza langsung takde jual tiket Euroline dan hanya ada beberapa travel & tours yang jual, itupun ada booking charge dan segala macam kos tambahan lain lagi la, yang mula membuatkan aku meradang. Sekadar mengalas perut dengan croissant kosong dan mineral water, aku dan Kak Ana memulakan perjalanan kaki balik ke Keleti. That means another 650 metres. Sesampai di Keleti setelah berjalan sejauh 1.3km, aku dan Kak Ana tekad beli aje lah tiket yang mahal tu sebab dah tak tahu mana lagi nak cari tiket Euroline. Sampai je di kaunter, aku perhatikan dah banyak kaunter yang bukak dan aku ternampak kelibat makcik kurang adab di dalam pejabat tiket. Kitorang terus dilayan baik oleh seorang kakak pertengahan umur di salah satu kaunter yang buka tu. Sekali lagi Kak Ana bertanyakan tiket train ke Prague pada esok hari untuk 2 orang. Masing-masing dah redha nak keluarkan 49 € sorang. Sekali kakak tu dengan tersenyum bagitau tiket beharga 29 € seorang. Ternganga aku dengan Kak Ana. Hantu punya makcik kurang adab. Dia silap bagi harga tiket rupanya. Dia bagitau kitorang 49 €, padahal harga sebenar 29 €. Cesss..saat tu sumpah dan makian kami tak bernoktah kat makcik kurang adab yang nampak macam takut-takut nak keluar dari pejabat kat dalam tu. Sampai selesai kami beli tiket, makcik tu still duduk bertapa kat dalam tu taknak keluar ke kaunter dia. Takutlah tu. Aku positif, dia memang nak kenakan aku dan Kak Ana pagi tu.

Perjalanan hari kedua secara ringkasnya telah dicemari dengan insiden makcik kurang adab. Ini membuatkan kami terpaksa terkejar-kejar untuk melaksanakan misi kedua hari ini iaitu meneroka bandar Budapest dan tempat-tempat menarik yang ada. Tujuan utama ialah Shoes Memorial di tebing Sungai Danube. Kami naik Metro dan turun di stesen yang sama semalam; Deak Ferenc ter. Dari situ, kami mengambil kesempatan singgah di setiap tempat menarik sepanjang jalan ke Sungai Danube. Antara yang sempat kami singgah ialah Matthias Church. Matthias Church adalah gereja penting bagi komuniti Budapest sebab adat istiadat pemashyuran raja diorang dibuat di sini. Satu lagi sejarah mengejutkan Matthias Church yang tak ramai orang tahu ialah, gereja ini sebenarnya dulu sebuah masjid. Untuk kisah khas Matthias Church, aku ceritakan secara verbatim kat post khas nanti.


 
Matthias Church terletak di dalam kawasan Fishermen Bastion. Di bahagian pinggir Sungai Danube bersebelahan Chainsbridge pula, merupakan Central Hall Market yang dulunya merupakan pasar basah Budapest. Hari ni dipenuhi dengan deretan bot-bot mewah yang kebanyakannya menawarkan restoren terapung lima bintang. Aku dan Kak Ana turut menjamu di situ; menjamu mata.
 

antara restoren mewah yang ada menawarkan pelbagai makanan laut dengan harga 5 bintang
 
 



 
Bus Hop In Hop Of:
Di dataran dekat Deak Ferenc ter, yang juga merupakan titik tengah bandar Budapest, kami sekali lagi ternampak Hard Rock Café yang kami pegi malam tadi. Satu area rupanya. Di sini, ada kaunter jualan tiket-tiket city tours dan juga bot ride yang boleh korang pilih ikut bajet dan kesesuaian masa. Memandangkan hari dah suntuk dan kitorang pun dah penat berjalan kaki pagi tadi, kami sepakat dengan hati berat untuk ikut bas ni. Selain daripada di sini, tiket-tiket bas dan city tours yang lain boleh juga didapati di 12 tempat tarikan pelancong utama sekitar Budapest.
 
satu daripada banyak kaunter atau booth menjual tiket bus tours atau city tours

 
 
Tiket Hop In Hop Off Bus:
- 4000 Ft seorang (dalam RM54)
- Tiket valid untuk tempoh 48 jam. Maknanya kalau tak habis hari ni, esok boleh sambung lagi.
- Ada 12 perhentian, pelancong boleh turun di mana-mana perhentian dan boleh pilih untuk follow bus yang asal, ataupun tunggu bus yang time lain. Jarak masa ialah setengah jam bagi setiap bus. Korang ada masa lah untuk round-round setiap 12 tempat ni dan boleh tunggu bus yang lain. Dari segi masa, taklah terkejar-kejar.
- Tour dikendalikan dalm bahasa inggeris dan ada 19 lagi bahasa yang ditawarkan. Kalau nak dengar bahasa lain, boleh ambik headphone dari tour guide dan pasang pada alat yang dia akan bagi bersama headphone tu.
- Termasuk dalam tiket ni ialah 1 jam boat tour sepanjang Sungai Danube yang boleh dinaiki di Fishermen Bastion yang aku cakap tadi.
 
salon ala Budapest. Sayangnya tutup masa kami lalu.


Destinasi bas: 12 tempat tarikan pelancong utama di bandar Budapest.
*aku story secara ringkas la ye.

 
1) Szent Istvan ter:

St. Stephen Basilica, yang di dalamnya ada menempatkan sebelah tangan St. Stephen yang telah diawetkan. Berani? Pegilah masuk dalam dan tengok.
 
 

mungkin yang duduk bersila tu la St. Stephen
 
 


 
kat sini ada pejabat pos besar yang cantik. Aku kirim poskad untuk kawan-kawan dan diri sendiri kat sinilah. Selain tu, tarikan utama di jalan ni adalah St. Stephen Basilica. Besar basilica ni yang menempatkan satu loceng lama ntah dari kurun berapa.


Pejabat pos besar tempat aku dan Kak Ana sakan menyopping. Sini pun jadi..

 
 
 
2) Deak Ferenc ter:
Inilah tempat kami beli tiket. Tapi disebabkan jaraknya dekat sangat dengan perhentian bas yang pertama iaitu Szent Istvan ter, aku dan Kak Ana berjalan kaki ke point pertama sebab bas masih belum tiba. Sementara menunggu bas di point 1 tu, sempatlah kami menulis dan mengirim poskad. Jimat masa. Di Deak Ferenc ter, ada banyak tarikan macam yang aku cerita tadi. Yang paling penting, Hard Rock Café Budapest.
 
 
3) Liszt Ferenc ter:

 salah satu rumah agam di Andrassy Avenue
 
Di sinilah terletaknya ‘House of  Terror’ yang femes tu. Ia merupakan sebuah rumah agam yang dijadikan markas Nazi dan penyokong Nazi iaitu kumpulan Arrow Cross yang melakukan pelbagai jenis penyiksaan terhadap penentang-penentang mereka. Kawasan perumahan di sekitar Andrassy Avenue ni pun semuanya cantik-cantik. Penuh dengan rumah agam yang dah berusia berkurun-kurun. Malah ada antaranya digunakan sebagai markas kumpulan penentang Nazi dalam menjalankan aktiviti bawah tanah mereka semasa Perang Dunia Kedua.
 

 

nampak? Setiap rumah wajib ada balkoni sendiri.
 
 

 
4) Heroes Square:
 














Ini adalah dataran paling besar di Budapest, menempatkan cluster pelbagai muzium seni dan etnografi yang pelbagai, di samping patung-patung raja Magyar dan pahlawan Hungary tersohor berdiri megah di tengah Heroes Square ini. Ada 2 kolum ala Greek dibina. Kolum di sebelah kanan merupakan patung ketua 7 bangsa Magyar yang tiba dari Asia pada kurun ke-9. Manakala kolum di sebelah kiri merupakan pahlawan-pahlawan moden Hungary. Terdapat tiang tinggi di antara kedua-dua kolum ini yang kononnya merupakan 'archangel Gabriel' bagi penganut Kristian, yang memegang replica mahkota diraja. Mengikut sejarah dan gambar-gambar lama Perang Dunia Kedua, Komunis rally atau perarakan komunis dibuat bermula dari Andrassy Avenue dan berakhir di Heroes Square semasa Perang Dunia Kedua dulu. Aku dan Kak Ana bergambar sakan di Dataran Hero ni. Kesemua patung-patung Raja Magyar dan pahlawan-pahlawan Hungary di situ adalah sangat besar, besar dalam 2 atau 3 kali ganda saiz manusia biasa.
 
 antara muzium yang ada di kawasan Heroes Square. Ini adalah muzium seni.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


 
5) Grand Hotel Hungaria:
Perhentian kelima ni memfokuskan kawasan perniagaan dan butik-butik pereka terkenal di Budapest.Di sini juga merupakan kawasan hotel-hotel lima bintang Budapest. Banyak bangunan lama di kawasan ni dan hampir kesemua bangunan ada balkoni yang ala-ala Evita Peron buat speech tu. Memang klasik.
 


 

 
6) New York Palace:

 
Bangunan ni adalah hotel yang terkenal dan menjadi tempat banyak keputusan penting dalam sejarah Eropah dan dunia dibuat. Tarikan utamanya ialah New York Café yang merupakan satu daripada coffeehouse tercantik di dunia. Aku dan Kak Ana tak sempat masuk. Dapatlah ambik gambar kat luar je.
 
 
7) Astoria:

 
Terletak hampir dengan Dohany Street dan dulunya adalah kawasan penempatan orang Yahudi. Di sini ada Dohany Synagogue yang merupakan tempat ibadat Yahudi yang wujud seawal Perang Dunia Pertama. Dalam usaha Hitler menghapuskan Yahudi di Eropah, hampir kesemua tempat Yahudi dihapuskan sama sekali dan beribu-ribu Yahudi dihantar ke kem tahanan perang dalam program khas Hitler iaitu ‘the Final Solution’. Synagogue ini adalah yang terbesar di Eropah dan antara yang terbesar di dunia. Kawasan Dohany street ini menempatkan Memorial Peringatan Holocaust dan masih lagi terdapat kesan-kesan Budapest Ghetto yang wujud pada Perang Dunia Kedua.
 
 
8) Siklo:
Terletak di sebelah Buda dan hujung jambatan Chainsbridge. Ada menempatkan batu yang dipanggil 0-km stone, dikatakan bermula di batu inilah semua jarak di dalam Hungary diukur.
 
 
9) Castle District:

 
Ia merupakan sebahagian daripada Budapest World Heritage Site. Terdapat tapak ekskavasi arkeologi yang besar, berkemungkinan seawal pemerintahan empayar Uthmaniyyah. Tapak ekskavasi ini tidak dibuka kepada orang ramai, tapi korang masih boleh menjenguk melalui pagar yang dibuat jarang-jarang bertujuan menghalang kemasukan pelancong ke kawasan tersebut. Castle District ini merupakan tempat bersemayam raja-raja dan bangsawan Hungary selama tempoh 700 tahun. Hari ini, Castle Hill menjadi kompleks muzium-muzium. Selain itu, di sini kita boleh tengok pertukaran askar yang berkawal di Istana Presiden atau nama rasminya Sandor Palace. Pertukaran dibuat dengan penuh adat istiadat ketenteraan Hungary. Sekali tengok rasa macam zaman Perang Dunia kedua pun ye. Kawasan di sekitar Sandor Palace dan istana ini sendiri musnah teruk akibat daripada pengeboman Tentera Bersekutu (Allied) dalam Perang Dunia Kedua 1944. Ianya hanya dibaikpulih semula selepas kejatuhan Komunis pada tahun 1989.
 

antara kerja ekskavasi yang masih berjalan.
 
 
 
Sandor Palace atau Presidential Palace.
 






 
 
10) Citadel:
Bekas kubu pertahanan tentera di atas Gellert Hill yang juga merupakan tempat tertinggi di Budapest dengan pemandangan cantik seluruh bandar Budapest. Pemandangan cantik dari sini tapi aku tak dapat nak ambik sebab masa kami tiba di sini, hujan dah mula turun beserta dengan kabus tebal. Aku dan Kak Ana malas nak berlama-lama di luar bas. Sejuk.
 

itulah kawasan Castle Hill diambil dari belah Pest. Castle Hill terletak di kawasan belah Buda.
 
 
11) Marcius 15. Ter:
Berhampiran boat pier atau Central Market Hall. Kat sinilah kena turun kalau nak naik Danube River Cruise tu. Cruise tutup pada jam 4 petang. Pastikan korang datang awal pagi kalau nak ikut boat trip sepanjang Danube.
 
 
12) Parliament:
Merupakan perhentian terakhir bagi bas Hop In Hop Off. Kalau tak turun di sini, bas akan kembali ke Perhentian 1 iaitu di Szent Istvan ter. Tour akan bermula balik macam tadi. Aku dan Kak Ana turun di sini, sebab di sinilah jalan paling dekat untuk ke Shoes Memorial di tebing Sungai Danube. Walaupun hari dah gelap (musim luruh memang hari cepat gelap), aku dan Kak Ana tetap bertekad nak sampai ke Shoes Memorial. Sekali lagi kami berjalan kaki dalam sejuk dengan suhu sekitar 10°C dan remang senja Budapest.
 

 
Budapest Shoes Memorial

 

Sememangnya sebelum tiba di Budapest lagi, aku dan Kak Ana berkali-kali mengingatkan satu sama lain untuk pegi ke tempat ini. Wajib dan tidak boleh tidak. Kalau dari jalan utama, korang kena turun di sisi Chainsbridge ke tebing Sungai Danube. Sepanjang tebing memang ada kawasan pejalan kaki yang ala ala waterfront menghadap Sungai Danube dan Chainsbridge. Walaupun nampak macam takde orang, tapi sebenarnya ramai yang duduk menikmati angin malam di bangku-bangku yang bertaburan di tebing Sungai Danube. Di belakang ialah jalan besar dan kenderaan memang tak boleh berhenti langsung di bahu jalan. Satu-satunya jalan nak ke Memorial ini ialah dengan menyusur tebing Sungai Danube, bermula di tangga turun di tepi Chainsbridge.


Memorial ini merupakan peringatan kepada beratus-ratus Yahudi yang dibunuh tentera Nazi dan kumpulan Arrow Cross  Militiamen sepanjang pendudukan Nazi di Budapest dan Hungary amnya pada tahun 1944-45. Memorial ni kalau korang tengok, adalah dalam bentuk kasut-kasut pelbagai saiz model lama sekitar 1920-1945. Ada pelbagai kasut lelaki, wanita dan kanak-kanak yang diukir sebijik macam kasut betul tetapi daripada gangsa. Model bagi setiap kasut adalah berdasarkan model kasut pada zaman tersebut. Simboliknya kasut-kasut ini ialah, pada masa tersebut kesemua Yahudi dari segenap lapisan taraf dan umur dikumpulkan dan disuruh beratur panjang dalam barisan. Mereka dipaksa berjalan sekeliling bandar Budapest sebelum dibawa ke tebing Sungai Danube. Di sini, kesemua dipaksa berdiri di tebing sungai dan diarahkan menanggalkan kasut masing-masing. Mereka kemudian ditembak di kepala oleh tentera Nazi atau kumpulan Arrow Cross  Militiamen; dan mayat-mayat akan jatuh ke dalam Sungai Danube dan terapung hanyut mengikut aliran Danube. Yang tertinggal hanyalah kasut-kasut menjadi saksi bisu kepada kekejaman tentera Nazi ketika itu. Itulah yang diabadikan menjadi Shoes Memorial pada hari ini.
 


 
Sebagai penutup kisah aku dan Kak Ana di Budapest, berada di Shoes Memorial memang mengesankan. Di belakang kedengaran sayup-sayup bunyi kesesakan trafik diselang-seli dengan bunyi tram dan Metro yang lalu lalang di jalan yang bersebelahan. Di depan aku adalah Chainsbridge dalam samar-samar malam; dengan kerdipan lampu-lampu di atas jambatan tersebut dan juga cahaya lampu di seberang sana sungai di kawasan Castle District. Aku menoleh memandang Kak Ana dan dia menoleh memandang aku. Kami mengangguk serentak dan seolah-olah sepakat, mula berjalan perlahan-lahan meninggalkan Memorial tersebut menuju ke Marco Polo. Esok, teksi akan mengambil kami di hostel untuk ke Keleti. Keretapi ke Prague mengambil masa dalam 6 jam lebih dan keretapi kami bertolak pagi. Untuk julung kalinya, aku dan Kak Ana seakan serik berjalan kaki lagi di bandar ini. Sambil Memorial jauh ditinggalkan di belakang, aku sudah dapat membayangkan puisi spontan yang bermain di minda aku ketika itu..
 
In the darkest of night, I stood amongst the bronze shoes of those who had fallen, for the freedom they cannot choose, nor gained, fall dead in the cold River Danube.
I also thought of many others who fought tremendously for the price of their freedom and sovereignty, while I was still standing amongst countless shoes, ashamed of the freedom I have and I taste, that I did not gain or choose.
- Faa, cold night of Nov 12.
 


 
Bajet dua hari di Budapest (seorang) 22-24 Nov 2012      
Withdraw 40,000 Ft (RM544.50)                                
 
Metro (open tiket) 320 Ft x 4 ------------------------------------ 1280 Ft                                                  
Hostel Marco Polo (3D 2N) *dibayar dlm Euro -------------- 28 €       
Train tiket Prague *dibayar dlm Euro -------------------------- 29 €
Croissant 155 Ft x 3 ----------------------------------------------- 465 Ft
Nestea 135 Ft x 2 -------------------------------------------------- 270 Ft
Mineral water 300 Ft x 2 ------------------------------------------600 Ft
Souvenier @ Chainsbridge --------------------------------------- 4500 Ft
Hard Rock Café T-shirt sehelai ---------------------------------- 8000 Ft
Souvenier @ Pasar Krismas -------------------------------------- 5100 Ft
Souvenier @ Citadel ---------------------------------------------- 1000 Ft
Souvenier @ Castle Hill ------------------------------------------ 5700 Ft
T-shirt (4 helai) *dibayar dlm Euro ----------------------------- 28 €
Postcards and postage --------------------------------------------- 3160 Ft
Hop In Hop Off Bus ----------------------------------------------- 4000 Ft
Toilet Hero Square ------------------------------------------------  250 Ft
Hot Nescafe --------------------------------------------------------- 240 Ft
Hot Coklat ---------------------------------------------------------- 240 Ft
Sarapan pagi Keleti 23/11 ---------------------------------------- 540 Ft
Sarapan pagi Keleti 24/11 ---------------------------------------- 900 Ft
Teksi dari Marco Polo ke Keleti ---------------------------------1200 Ft
 
Total:      37 445 Ft + 85 € (bersamaan dengan RM 509.70 + RM 340)
 Baki duit Hungary Forint/ Ft ialah 2555 Ft (RM34.80)
 
*duit baki aku simpan dalam note asal dan koin asal untuk kenang-kenangan terlajak berbelanja di Budapest)
 
*belanja harian jadi mahal disebabkan ketaksuban aku memborong dan ‘menjala’ di pasar Krismas dan di mana-mana saje lah yang ada jual souvenier dan poskad. Selain itu, ada beberapa perkara yang dibayar dalam Euro. Ini bukanlah tindakan yang bijak sebenarnya. Patutnya simpan duit Euro, tapi dek kerana aku telah kerasukan, redha aje lah. Perbelanjaan korang boleh dijimatkan lagi separuh dari perbelanjaan aku ni, iaitu dengan cara elakkan membeli souvenier terlampau.

 
 Bersambung nanti ~
 

No comments:

Post a Comment