Sunday, March 1, 2015

Budapest: Aku Temui Sisa Empayar Uthmaniyyah di kota Budapest


 
 
Kewujudan empayar Uthmaniyyah di kota Budapest seakan-akan mitos. Sepanjang persediaan aku untuk ke Eropah, tak pernah sekali aku terbaca tentang pemerintahan empayar Uthmaniyyah di Hungary, terutamanya di Budapest. Malah, masa sampai ke Budapest pun, tak nampak langsung sebarang binaan yang bercirikan senibina Uthmaniyyah. Sehinggalah aku membaca tentang pemerintahan 150 tahun empayar Uthmaniyyah terselit-selit di artikel Wikipedia.
 
 
Jujurnya, tak banyak yang bersisa di Budapest untuk kita lihat betapa hebatnya empayar Uthmaniyyah satu masa dulu. Kebanyakan binaan telah dimusnahkan oleh tentera Holy League semasa mereka merampas kembali Budapest daripada empayar Uthmaniyyah. Apa yang tinggal hanyalah beberapa binaan yang boleh digunakan untuk kepentingan pemerintah seterusnya. Antara binaan yang tinggal di Hungary ialah Masjid Pasha Qasim di Pecs, menara-menara masjid di Eger dan Erd serta makam pemuisi sufi Gul Baba di Budapest. Makam Gul Baba pernah ditukarkan kepada gereja kecil (chapel) setelah Budapest jatuh ke tangan gabungan tentera Kristian Eropah, tetapi selepas Perang Dunia Kedua, kerajaan Turki telah memperbaiki makam ini dan dipelihara seperti keadaan asal untuk kunjungan warga Turki khususnya. Selain itu, pemerintah Uthmaniyyah ketika itu turut memperkenalkan rumah mandi terbuka (harem) seperti yang banyak terdapat di Turki, lengkap dengan spa dan sauna. Oleh kerana bangunan-bangunan ini membawa faedah kepada kerajaan selepasnya, bangunan-bangunan ini tidak dimusnahkan dan dikekalkan sehingga ke hari ini sebagai rumah-rumah mandi air panas yang kini menjadi salah satu kebanggaan Budapest.
 
Terdapat satu lagi binaan hebat empayar Uthmaniyyah yang disembunyikan asal usulnya oleh pemerintah sedia ada, yang hampir membuatkan aku terlepas pandang kewujudannya. Di tengah-tengah bandar Budapest, di dalam kawasan Fishermen Bastion, ada sebuah gereja besar yang menjadi pusat aktiviti agama negara Hungary sejak dari empayar Astro-Hungary lagi. Malahan upacara pertabalan, angkat sumpah serta pembaptisan raja-raja dan para bangsawan Hungary hampir semuanya berlangsung di sini. Kalau ke Budapest, jenguklah Gereja Matthias yang betul-betul terletak di tengah bandar Budapest. Panjatlah naik ke menara tertingginya dan cuba pandang ke bawah. Korang akan dapat melihat 3 kubah asal dari binaan tersebut yang dulunya adalah sebuah masjid besar semasa pemerintahan Turki Uthmaniyyah. Betul, jangan dikenang barang yang lepas, tapi kalau dikenang buat pengajaran; pada aku tak ada salahnya. Begitulah nasib sebuah bekas masjid yang kini gah berdiri di tengah Budapest, bergelar Matthias Church. Walaubagaimanapun, dari segi sejarahnya, terdapat pelbagai versi tentang asal usul gereja ini. Dalam tulisan orientalis Barat, adalah dikatakan gereja ini sudah wujud seawal zaman pemerintahan Rome dan apabila empayar Uthmaniyyah memerintah Budapest, banyak sekali gereja-gereja ditukar menjadi masjid, antaranya termasuklah Gereja Matthias ini. Sejauh mana ketepatan versi asal gereja ini, tak dapatlah aku pastikan. Cuma, kalau masuk ke dalam memang nampak arch yang seakan-akan menyerupai arch di Masjid Cordoba, Sepanyol. Sayangnya aku tak ambik gambar langsung di gereja ini, baik di dalam mahupun di luar. Untuk rujukan korang, silalah google image di Google atau Yahoo. Pasti ada. Aku mintak maaf atas kekurangan imej grafik bagi tinggalan Uthmaniyyah ini. Aku seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada menggunakan imej orang lain, atas sebab-sebab copyright protocol dan yang sewaktu dengannya. Jadi, maaf sekali lagi la ye.

 
Selain peninggalan bangunan, dari segi linguistic pula sememangnya terdapat beberapa perkataan asal Turki yang dipinjam dan diasimilasikan ke dalam bahasa tempatan seperti ‘dohany’ iaitu tembakau (tobacco), ‘kave’ iaitu kopi (coffee) dan ‘kefe’ iaitu berus (brush). Itulah saja tinggalan yang ada bagi membuktikan wujudnya pemerintahan Uthmaniyyah di bumi Hungary. Ternyata, sejarah agung empayar Uthmaniyyah benar-benar telah dipadam habis daripada catatan kota Budapest.
 
Berbalik kepada tentera Holy League tadi, ia adalah gabungan tentera Kristian yang terdiri daripada German, Croat, Dutch, Hungarian, English, Spanish, Czech, Italian, French, Burgundian, Danish dan askar Swedish. Di samping itu terdapat juga sukarelawan Eropah serta pakar artileri yang turut serta dalam peperangan melawan empayar Uthmaniyyah. Gabungan ini  mempunyai satu tujuan yang sama iaitu menghalau dan menghapuskan sama sekali kewujudan empayar Uthmaniyyah daripada bumi Eropah. Tentera Holy League ini berperang di bawah bendera Imperial Army of the Holy Roman Empire. Sedikit demi sedikit, mereka berjaya menghalau empayar Uthmaniyyah keluar dari bumi Hungary.
 
Tidak hairanlah, apabila Budapest dan kawasan sekitarnya berjaya dikuasai tentera Holy League, habis semua bangunan dan peninggalan empayar Uthmaniyyah dimusnahkan oleh mereka. Impaknya, hari ini segala bangunan megah tersergam yang mendominasi bandar Budapest hanya menggambarkan kewujudan satu pemerintahan empayar terkenal iaitu empayar Austro-Hungary. Ironinya empayar ini juga akhirnya jatuh terbarai dan diikuti dengan tercetusnya Perang Dunia Pertama dan berlanjutan kepada Perang Dunia Kedua. Sejarah warna warni Budapest tidak terhenti di situ, Budapest malah menjadi pusat aktiviti segala revolusi bagi rakyatnya melahirkan ekspressi terhadap ketidakpuasan hati pada pemerintah-pemerintah yang silih berganti. Bermula dengan Hungarian Revolution 1848, Hungarian Republic of Councils 1919, Operation Panzerfaust 1944, the Battle of Budapest 1945 dan akhirnya, Revolusi 1956.
 

Demikianlah sedikit sebanyak kisah empayar Uthmaniyyah yang dapat aku kongsikan. Kepada pengembara-pengembara seperti aku, semoga kembara-kembara akan datang bukan sahaja membawa kepuasan dari segi pengalaman, tetapi juga berjaya membuka mata kita tentang jejak-jejak syiar Islam di seantero dunia. InsyaAllah.

 
Those who don’t learn from history are doomed to repeat it
–George Santayana
 

No comments:

Post a Comment