Saturday, February 28, 2015

Budapest: Mencari Jalan Pulang



Hari Pertama: 22/11/2012
Hostel Marco Polo jauh kami tinggalkan di belakang. Dengan berbekalkan beberapa keping tiket oren Metro yang kami dah beli siap-siap, aku dan Kak Ana mengambil Metro dari stesen berhampiran hostel iaitu stesen Blaha Luj ter menuju ke tengah bandar untuk meneroka bandar Budapest.
 

Itinerari:
Parliament, Chainsbridge, Hard Rock Café Budapest, Christmas Market dan kawasan yang sama sekitar dengannya.
 
Pandu arah:
Nama stesen Metro untuk Parliament dan kawasan sekitar sehinggalah ke jambatan Chainsbridge ialah Deak Ferenc srt. Kalau dari hostel kami (stesen Blaha Luj ter), terus naik Metro dan turun di stesen nombor dua.
 
 

Bangunan Parlimen Hungary (Országház)
Entrance fee: Percuma
Camera: Tak pasti sebab kami tak masuk.
 
Tarikan:
Dibina pada tahun 1885 dan siap pembinaan sekitar 1904, bangunan ini menggabungkan senibina Gothic Revival dan Renaissance Revival. Bangunan yang telah berjaya mengharungi Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, merupakan tempat perhimpunan nasional Hungary, sepertimana juga fungsi Parlimen di Malaysia. Bangunannya cantik dan merupakan salah satu daripada bangunan pemerintahan paling tertua di Eropah. Parlimen ni adalah landmark bagi negara Hungary dan termasuk dalam senarai wajib pelancong-pelancong kalau diorang sampai ke Budapest ni. Terletak di Dataran Lajos Kossuth, betul-betul bersebelahan dengan Sungai Danube. Setakat hari ini, bangunan Parlimen ini merupakan bangunan terbesar dan tertinggi di Budapest. Untuk masuk, korang kena beratur dengan sangat panjang. Masa aku dan Kak Ana tiba, hari dah nak petang. Tengok je barisan yang panjang, maksud aku-sangat-sangat panjang sampai ke jalanraya, membuatkan aku dan Kak Ana sekadar berpuas hati bergambar sakan di luar dan di tepi Parlimen. Dari risik-risik kami, rupanya yang beratur ni memang ada yang tak sempat masuk untuk hari itu sebab musim luruh kebanyakan muzium dan tempat-tempat tarikan pelancong ditutup awal. Jadi, diorang beratur jugak untuk ambil tiket dan masuk pada hari esok. Aku tak pasti samada sebarang bayaran dikenakan atau tidak, tapi berdasarkan cakap-cakap penduduk tempatan yang kami sempat tanya, katanya percuma. Jadi, kalau datang Budapest, make sure datang ke Parlimen pagi untuk beratur ambik tiket percuma.
 

Dari Parlimen, aku melihat bangunan di sekeliling. Bangunan berhadapan dengan Parlimen adalah Ethnographic Museum Budapest, yang menempatkan koleksi barangan harian etnik-etnik Hungary sejak dari kurun ke 19. Aku tak masuk ke muzium ni sebab telahpun ditutup masa kami sampai tu. Selain daripada muzium, ada beberapa monument yang tersergam di Dataran Lajos Kossuth berhadapan Parlimen. Setiap monument ada simbolik tersendiri.
 
Kossuth Memorial


Antara monument yang ada ialah Kossuth Memorial; yang merupakan monument awam didedikasikan khas untuk bekas Hungarian Regent – President Lajos Kossuth. Lajos Kossuth adalah seorang peguam, jurnalis, ahli politik dan Regent-President kepada Kerajaan Hungary semasa Revolusi tahun 1848-49. Beliau juga dikenali sebagai pejuang keamanan dan bapa demokrasi Hungary. Monument ni macam Tugu Negara la lebih kurang.  
 
Memorial Revolusi Hungary 1956
Monumen lain ialah tugu Revolusi Hungary 1956 bagi mengingati revolusi spontan seluruh negara menentang kerajaan Hungarian People’s Republic dan polisi Soviet. Revolusi ini berlangsung dari 23 Oktober sehingga 10 November 1956. Simbol terkenal Revolusi 1956 ialah bendera Hungary dengan lambang komunis di tengah-tengah bendera dibuang, menjadi bendera tersebut berlubang bulat di tengah. Inilah yang kekal menjadi bendera Hungary sehingga ke hari ni.
 
Monumen Francis II Rakoczi
 


Sebuah lagi monument yang sakan aku dan kak Ana bergambar ialah monument Francis II Rakoczi. Ini pun sorang lagi tokoh Hungary, taraf Datuk Maharajalela di Pasir Salak ataupun Tok Janggut di Kelantan, boleh juga Datuk Bahaman di Pahang mahupun Rentap di Sarawak. Francis II Rakoczi hidup sekitar 1676 dan meninggal dunia sekitar 1735 di Tekirdag yang ketika itu merupakan salah satu kawasan di bawah pemerintahan empayar Uthmaniyyah. Sumbangan terbesar Pak Francis ni adalah mengetuai pemberontakan Hungary menentang Habsburgs, sebab dia ni adalah putera Kingdom of Hungary, putera Transylvania dan juga ahli Order of the Golden Fleece. Muka Pak Francis ni turut diabadikan dalam duit kertas Hungary. Maklumlah, hero Hungary la katakan. Memang garang muka dia, siap dengan misai melintuk.


 
 
Monumen Istvan Bilbo
 


Dari Parlimen, kami menapak menghala ke Sungai Danube di belakang Parlimen. Di tepi Sungai betul-betul kat belakang Parlimen, ada satu bust atau patung separuh badan seorang lelaki tua berkaca mata sambil membaca buku. Dia adalah Istvan Bibo; peguam terkenal Hungary, ahli politik, penjawat awam dan penganalisa politik. Memang di Budapest ni, diorang suka sangat mengingati tokoh-tokoh dengan monument atau patung. Banyak duit diorang ni.
 
Monumen Jozcef Attila
 


Kami menapak lagi ke depan menghala ke Chainsbridge iaitu jambatan yang menghubungkan bahagian Buda dan Pest merentangi Sungai Danube. Aku dan Kak Ana jumpa satu lagi monument yang unik sebelum kami melintas jalan menuju ke tepi Sungai Danube. Monumen terakhir ni dalam bentuk sorang lelaki yang duduk di anak tangga. Tangan kiri memegang topi dan tangan kanan direhatkan atas lutut sambil mukanya berkerut merenung jauh. Dia adalah Jozcef Attila, pemuisi tersohor Hungary yang disayangi ramai. Sayangnya dia ni menghidap sakit mental iaitu ‘paralysing depression’ yang akhirnya meragut nyawanya sendiri. Abang Jozcef ni akhirnya membunuh diri dalam tahun 1937 pada umur 32 tahun; dengan terjun di hadapan keretapi yang terletak tak jauh dari monument tersebut. Depress rupanya Abang Jozcef ni. Kasihan..
 
Szechenyi Chainsbridge
 
 
 
 

Merupakan jambatan yang menghubungkan antara Buda dan Pest yang dipisahkan oleh Sungai Danube. Jambatan ini dikawal 2 ekor singa batu di bahagian Buda dan 2 ekor lagi singa batu di bahagian Pest. Mula dibina pada tahun 1840, jambatan ni musnah teruk semasa Perang Dunia Kedua akibat dari pengeboman tanpa henti semasa Siege of Budapest.
 
 
Setelah perang tamat, jambatan ini dibuka semula pada tahun 1949 hingga ke hari ini. Kami berjalan kaki menyeberang jambatan ni ke belah sana dan pusing balik ke sambil ambik mood romantic Sungai Danube. Teringat muzik klasik tersohor ‘The Blue Danube’ yang diilhamkan dari keindahan Sungai Danube oleh composer Austria Johann Strauss II. Jemputlah tengok gambar jambatan ni yang aku ambik dari beberapa posisi berbeza di sekitar Budapest. Memang cantik, terutamanya waktu malam. Korang boleh jugak pegi google ‘The Blue Danube’ kat Youtube untuk ambik mood romantic Danube. Hahaha..
 


 

 
 
 

Akibat daripada berjalan kaki tak henti dari petang tadi sampai ke malam, tak sedar perut dah menjerit lapar. Maklumlah, kami isi perut dengan Maggi je kat hostel. Mana cukup, tenaga dah banyak guna berjalan kaki. Hasrat nak menjengah ke Shoes Memorial di tebing Sungai Danube kami tangguhkan ke esok hari, sebab jalan ke sana kena menyusur balik ke arah kami mula-mula datang tadi. Tak sanggup dah, suhu pun makin sejuk. Dari jambatan, kami meneruskan ke destinasi wajib iaitu mencari Hard Rock Café Budapest.


 
 
Hard Rock Café Budapest


 
Pandu arah:
Untuk ke Hard Rock, sangat senang. Kalau naik Metro, turun di stesen yang kami turun petang tadi, iaitu Deak Ferenc ter (deak Ferenc street). Alamat Hard Rock yang aku print dari Malaysia pun memang tertulis di Deak Ferenc street.
 

 
Pasar Krismas Budapest
Kalau korang pegi masa musim luruh bulan Nov macam aku, kawasan sekitar Hard Rock ni sangat meriah sebab menempatkan pasar Krismas terbesar dalam Budapest. Ada pokok Krismas besar gila dan banyak sangat kedai-kedai menjual segala bagai barang daripada makanan minuman (opkos la kita tak boleh makan minum kat sini-tak halal kiah oi!), pottery kecik besar untuk cenderamata atau hadiah Krismas, patung-patung seramik, kad-kad ucapan yang sangat cantik dan kreatif, t-shirt dan pelbagai jenis pakaian, manisan dan kuih muih tradisi Hungary, stationeries, barang-barang dapur, berpuluh-puluh jenis madu yang tak pernah aku jumpa, pinggan mangkuk dengan corak terkenal Hungary dan macam-macam lagilah. Sayangnya madu aku tak dapat beli sebab susah nak bawak sepanjang kembara kami yang baru sampai pitstop ketiga ni.
 
 
 




















 
Sebelum masuk ke Hard Rock, aku dan Kak Ana menabur duit dulu kat pasar Krismas ni. Aku berani beli barang-barang yang kecik molek je supaya senang disumbat ke dalam backpack aku. Kat tengah-tengah pasar ni, ada dibuat pentas kecik molek untuk sesiapa artis tempatan yang nak menyanyi atau main muzik. Macam buskers la jugak. Tapi orang Budapest memang sporting. Diorang siap berjoget sama dengan artis-artis yang buat persembahan tu. Muzik yang dimainkan memang muzik tradisional Hungary. Layan jugak muziknya sebab sedap kat telinga.
 


 
Setelah aku dan Kak Ana bebas dari sumpahan pasar Krismas, kami masuk pulak ke Hard Rock Budapest untuk meneruskan aktiviti penjalaan di Hard Rock.





 

Drama ‘Lost’
Selesai ‘menjala’, aku dan Kak Ana barulah mula sedar perut masing-masing dah menjerit mintak diisi. Kami mencari kedai sandwich dan berjaya beli sandwich sayur. Jadilah. Dari situ, kononnya konfiden cari jalan balik ke stesen Metro Deak Ferenc ter. Sekali silap naik Metro ke arah bertentangan dan dengan keadaan masing-masing yang dah lunyai berjalan dari tengahari, kami redha aje lah turun kat mana-mana ntah dan menyeberang ambik Metro dari arah yang bertentangan. Nasib tadi dah beli siap-siap beberapa keping tiket Metro extra. Kalau tak, mana pulak nak mencari kedai suratkhabar tengah-tengah malam macam tu.

Kami ditakdirkan pulak berhenti di stesen Metro yang salah dan dek kerana sayang nak bazirkan tiket Metro yang mahal tu, kami sepakat berjalan kaki cari jalan balik dengan berpandukan peta yang ada. Dalam sejuk malam November di tengah-tengah bandar Budapest dekat nak pukul 9 malam tu, aku dan Kak Ana menabahkan hati berjalan mencari jalan balik ke Marco Polo. Sepanjang jalan, memang kami tak bercakap banyak.
Satu, sebab dah memang penat gile.
Kedua, sebab perut macam lapar balik.
Ketiga, sebab sejuk.
Keempat, sebab takut dikacau orang-orang mabuk tak berumah yang dah mula keluar dari lorong-lorong gelap mana ntah.
Kelima, bengang sebab sesat.
 
Hahaha. Dalam malam November yang sejuk tu, aku barulah nampak keindahan bangunan-bangunan bandar Budapest. Boleh dikatakan semua bangunan yang ada adalah bangunan lama yang berumur berkurun-kurun agaknya. Rasa macam dalam cerita lama pun ada. Aku nampak jugak kedai-kedai buku yang penuh dengan buku sampai ke tingkap ala-ala old skool gitthew. Sayangnya, hari dah malam sangat dan kedai-kedai tu pun dah tutup. Aku ambik je la gambar dari luar. Aku tau, esok kalau cari pun, konfem tak jumpa dah.

 
 

 
Setelah menapak lebih kurang setengah jam dan tersesat dalam 1 km kurang lebih dari laluan sebenar, akhirnya aku dan Kak Ana berjaya menemui Marco Polo. Alhamdulillah. Hati aku berdetik, mungkin ini balasan sebab aku ada berfikir yang bukan-bukan kat para pengemis di stesen Keleti Palyaudvar pagi tadi masa kami mula-mula sampai ke Budapest. Redha ajelah..
 

 
‘Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupamu dan harta kekayaanmu, akan tetapi ia memandang kepada hatimu dan perbuatanmu’.
-Hadis Riwayat Muslim

No comments:

Post a Comment