Tuesday, December 9, 2014

Brasov & Misteri Bran Castle


Day trip Brasov: 21 November 2012

Tour 2 castles + taxi fees: 50 lei + 5 lei = 55 lei bersamaan lebih kurang RM55

 
Day trip ini telah disusun oleh Carmen, staff dari Holiday Hotel Bucharest. Memandangkan aku dan Kak Ana hanya akan berada sehari saja di Brasov dan seterusnya menaiki keretapi Transylvania ke Budapest pada sebelah malamnya, Carmen mengaturkan trip ke sekitar Brasov sahaja. Kebetulan pada hari kami ke Brasov, beberapa buah istana Vlad the Impaler dan raja-raja Romania di sekitar Brasov banyak ditutup; samada untuk penyelenggaraan ataupun baikpulih. Hanya ada 2 buah istana yang dibuka untuk lawatan pada hari itu; Rasnov Fortress dan Bran Castle. Jadi, pakej day trip ini merangkumi pickup dari train station, hantar ke hostel pilihan/train station, lawatan bebas (takde guide) ke 2 buah istana ini termasuk pengangkutan (pakcik teksi kami) dan upah untuk pemandu. Ini tidak termasuk tiket masuk ke istana-istana ini. Kesimpulannya tour ni mahal bagi kami. Tapi disebabkan dah malas nak atur teksi dan buat sendiri macam yang selalu kami buat, follow aje lah. Sekurang-kurangnya pakcik teksi ni baik dan sanggup tunggu kitorang berjam-jam meneroka istana-istana ni (ayat penyedap hati sebenarnya tu).

Tengoklah jalan nak naik ke Bran Castle ni. Mengah tau tak..
 
Dari pekan Brasov, selepas pakcik teksi ambik aku dan Kak Ana, kami ke Kismet Dao Hostel (aku rasa, aku selalu silap taip nama hostel ni dalam post-post yang lepas. Untuk clarification, nama sebenarnya bukan Krishna atau Kishan Dao ye, tapi Kismet Dao). Kami ke sana untuk simpan bag di situ dan pakcik teksi nak ambik sorang lagi yang join day trip Brasov iaitu Rafael. Dari hostel, kami berempat bergerak ke Rasnov Fortress. Kisah Rasnov Fortress korang boleh baca kat sini Brasov & Kisah Ngeri Rasnov Fortress
 


Ini baru kaunter nak beli tiket.
 
Selesai meneroka seluruh isi Rasnov Fortress, kami bertiga turun kembali menggunakan traktor merah ke tempat parking di mana pakcik teksi setia menunggu. Dari Rasnov Fortress kami bergerak ke istana kedua, Bran Castle. Hari dah meninggi sebab dah nak dekat pukul 1 lebih tengahari, tapi disebabkan cuaca yang murung je (nasib baik tak hujan langsung), aku tak perasan sangat hari dah menganjak petang. Lagipun, setelah apa yang kitorang lalui di Rasnov Fortress, aku tak simpan harapan tinggi sangat untuk matahari memancar terang di Bran Castle. Perjalanan ke Bran Castle tak jauh pun, cuma kawasan istana ni agak misteri sebab dipenuhi dengan kabus walaupun dah tengahari dan cuaca sejuk betul. Kawasan sekitar istana ni penuh dengan pokok-pokok rhu dan konifer yang menjulang tinggi, diselang seli dengan kabus; menambahkan lagi efek seram istana yang satu ni. Ditambah pulak dengan angin bertiup yang terlebih sepoi dan orang-orang sekitar kawasan istana ni yang semuanya berbalut baju tebal, memang sesuai la sangat menyambut kedatangan kamike Bran Castle. Rasa macam nak melawat Adam Family pun ada. Mari tengok apa lah ghopenya Bran Castle ni.


Brasov: Bran Castle
Jarak dari Brasov ke Bran Castle: 29km
Jarak dari Rasnov Fortress to Bran Castle: 13.8km
Tiket masuk Bran Castle: 25 lei




 
Bran Castle menyimpan sejarah yang cukup panjang. Istana yang terletak di atas sempadan Transylvania dan Wallachia ini merupakan national monument kepada Romania. Lebih dikenali sebagai Istana Dracula, ia dibina pada tahun 1377 dan siap pada tahun 1388. Istana ini bertukar-tukar tangan daripada satu pemerintah ke pemerintah yang lain. Salah seorang daripadanya ialah Vlad the Impaler atau Vlad Tepes. Memerintah sekitar 1436-1442, dipercayai Vlad pernah beberapa kali bermalam di istana ini. Apabila Transylvania menjadi sebahagian daripada Greater Romania pada tahun 1918, istana ini telah ditawarkan kepada Queen Marie Romania (Ratu Maria) yang sangat disayangi rakyat ketika itu. Istana ini menjadi istana yang paling disukai oleh Queen Marie dan dari tahun 1920 sehingga 1932, istana ini ditukarkan menjadi istana musim panas keluarga diraja. Keluarga diraja Romania menduduki istana ini sehinggalah rejim komunis mengusir mereka pada tahun 1948. Di bawah rejim komunis, Bran Castle ditukarkan menjadi muzium dan apabila komunis jatuh pada 1989, istana ini kembali dibaikpulih dan dijadikan tarikan pelancong ke Brasov. Akhirnya setelah bertahun-tahun dinafikan hak pewarisan ke atas istana ini; pada tahun 2006, Bran Castle diserahkan kembali kepada pewaris-pewaris sah Princess Ileana of Romania and Archduke Anton of Austria. Hari ini, Bran Castle dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk melihat sejarah penuh warna-warni Bran Castle ini.
 


 
Kunjungan aku dan rakan-rakan kembara lain disambut dengan angin sejuk di tangga batu Bran Castle. Menapak mengah kami mendaki anak tangga yang berpahat kemas, hinggalah sampai ke pintu utama istana. Punyalah tinggi dari tempat parking kami mendaki, sampai ke sini, naik pulak tangga lagi. Sampai di pintu istana, tombol pintu aje dah membuatkan aku kagum tak habis. Bayangkan, kepala ular separa manusia yang diukir pada tombol pintu. Mungkin kalau masa tu ada kilat sabung menyabung, aku percaya mesti Dracula yang bukak pintu sambut kami.
 
Tombol pintu ni memang unik. Bukan aku je yang jakun, ramai je omputeh lain pun sebok ambik gambar tau!
 
Sayangnya, imaginasi liar aku berhenti takat tu aje lah. Pintu memang dah terbuka dan siap ada anak panah tunjuk arah ke mana dulu yang nak dituju. Untuk yang berminat nak tahu sejarah istana secara terperinci siap dengan sesi soaljawab sekali, mungkin korang boleh ambik tour guide. Ada guide la yang akan ikut dan terangkan satu persatu. Pada kitorang, pembacaan dalam buku-buku sebelum ni dah cukup memahamkan kami tentang istana ni. Cumanya, aku nak tengok sendiri setiap ceruk sudut istana ni. Maklumlah, tak puas tengok dalam buku!
 


Satu lagi seni tombol yang ada di Bran Castle
 
Keadaan dalaman istana memang terjaga rapi. Buku-buku Raja Romania yang dulu pun bersusun elok lagi dalam almari buku, kat dalam library. Cuma nampak dah kuning sangatla kertas-kertas buku tu. Dah berapa tahun la pulak kan masa berlalu.
 


 
Keseluruhan perabot-perabot dalam istana ni memang dalam keadaan yang baik. Piano pun ada, cuma aku tak pasti elok lagi ke tidak. Sekali tengok memang macam ada orang duduk lagi dalam istana ni.
 
Ini kaki kerusi kat meja makan. Kalau aku yang makan kat sini, kompem tak tertelan nasi dalam pinggan.
 
 
Bilik-bilik tidur siap bercadar baldu, meja main kad berkilat macam tiap-tiap hari ada orang polish dan pendiang api pun bersih je.
 


 




 
 
Cuma karpet dalam istana ni je yang nampak pudar, aku rasa sebab mat salleh ni memang masuk rumah tak bukak kasut. Ditambah pulak dengan pengujung-pengunjung yang sampai beratus orang dalam sebulan, memang pudar lah karpet dalam istana ni. Selain tu, istana ni ada terowong rahsia yang berbelit-belit. Aku muat-muat je masuk dalam terowong ni, dan hanya boleh jalan one way. Kalau tiba-tiba tengah jalan aku nak pusing balik, memang tak lepas nak pusing sebab lubang lorong ngam-ngam je badan aku. Nyamuk nak lalu pun tak muat kot. Hahaha.
 
 


Inilah terowong sempit yang aku maksudkan tu.
 
Macam di Rasnov Fortress, kat Bran Castle ni pun aku rasa ada aura mistik. Chewahh.. Kak Ana dan Rafael jalan di depan aku, aku pulak sebok ambik gambar sana sini. Ada banyak kali yang aku agak tertinggal di belakang dan leka sampai tak perasan dalam sesebuah bilik tu memang dah takde orang. Time-time macam ni lah aku ada rasa seram sikit. Rupa-rupanya, ada jantung Queen Marie disimpan dalam istana ni. Dah balik Malaysia baru aku tahu, yang jantung Queen Marie yang sebelum ni disimpan di sebuah biara berhampiran Laut Hitam (Black Sea) telah dipindahkan ke dalam bekas khas dan dibawa balik ke Bran untuk disimpan berhampiran Bran Castle semasa komunis masih memerintah. Bila rejim komunis jatuh pada tahun 1989, keluarga diraja Romania telah menuruti wasiat Ratu itu untuk menempatkan jantung miliknya di dalam bekas perak bertatahkan batu permata yang dibalut dengan bendera Romania dan bendera England iaitu negara kelahiran Ratu tersebut. Bekas ni kemudiannya ditanam dalam crypt marmar yang ditempatkan di biara keluarga diraja ini di dalam Bran Castle. Persoalannya, di mana? Hahahaha. Aku pun tak tahu dan tak hingin nak tahu. Seram wei!
 
 


Ini adalah altar kat dalam chapel atau gereja kecil milik keluarga diraja Romania dalam Bran Castle ni. Aku suspek, jantung Queen Marie disimpan dalam benda ni.
 
Keseraman tersebut berterusan bila aku tengok satu persatu gambar-gambar keluarga diraja ni yang dipamerkan di dinding-dinding istana ni. Gambar memang macam hidup. Atau mungkin aku yang terlebih feel kot..
 
 Ini pendiang api. Cantek kan?
 
 

 

JADI, kalau korang nak rasa sendiri keseraman semulajadi ni, silalah datang ke Bran Castle. Tak rugi tau. Sebab istana ni memang cantik dan terjaga. Cuma berita terbaru yang aku dapat di internet, sekarang istana ni tengah diiklankan untuk dijual. Ada duit lebih? Bolehlah beli kalau berkenan.
 








 

Dari Bran Castle, kitorang dihantar balik ke pekan Brasov. Hari dah hampir gelap rupanya, walaupun jam belumpun pukul 6. Sedih jugak rasanya nak berpisah dengan pakcik teksi tapi apa boleh buat, setiap pertemuan mesti ada perpisahan. Nampak tak di situ aku berfalsafah. Hahaha. Kami mintak pakcik teksi hantar kami ke pekan sebab nak ronda-ronda pekan dulu sebelum ke Budapest. Kat tengah-tengah pekan Brasov kami dan pakcik teksi berpisah.
 
Dataran di tengah pekan Brasov
 
 
Berjalanlah aku, Kak Ana dan Rafael di sekitar pekan Brasov yang mula beransur-ansur gelap. Sempat aku merakam saat-saat kirmizi ada di kaki langit, sampailah warna-warna jingga langit hilang ditelan gelap malam. Aku memang leka merakam apa yang ada di pekan Brasov ni, sambil Kak Ana dan Rafael sebok membincangkan ke mana nak makan malam hari ni. Kami akhirnya makan di Ceasu’ Rau, sebuah restoran agak mewah di tengah Brasov yang dicadangkan oleh Encik Rafael ya. Aku order nasi kepal dengan cendawan rebus dan sup tomato, dan Kak Ana pesan minced mushroom, atau dalam bahasa Melayu aslinya, cendawan kisar. Kikiki..bunyi je dah kembang tekak kan? Tapi sumpah, sedap aje kat tekak aku. Walaupun sebenarnya perut kitorang takdelah kenyang macam makan nasi kat rumah, tapi cukuplah sekadar mengalas perut.
 
 Ini nasi cendawan kepal aku
 
 
 

Sup tomato saya yang hado!
 
Lepas makan, kami menapak lagi memusing bandar Brasov dan bila hari dah gelap pekat, barulah kitorang jalan balik ke Kismet Dao. Aku dan Kak Ana nak ambik bag kami dan nak ambik teksi ke stesen keretapi untuk train ke Budapest malamnya pukul 8. Suhu dah mencecah 1°C masa kami kat dalam lobi hostel. Selesai bertukar-tukar alamat dan email dan facebook dengan Rafael, kamipun chau cin chau. Sedih jugak nak babai Rafael sebab dah sehari suntuk menyembang sesambil buat lawak bangang tak henti-henti. Tapi nak buat macamana kan..perjalanan harus diteruskan. Lagipun, esok Rafael pun akan naik keretapi pagi ke Bucharest dan setelah dipromote oleh aku, Rafael bercadang nak tidur semalam dua kat Holiday Hostel Bucharest sebelum dia gerak ke Sofiya.

Dalam kesejukan 1°C, aku dan Kak Ana ditelan perut teksi menuju ke stesen keretapi Brasov, tempat kami sampai pagi tadi. Mahal jugak tambang teksi, dalam 6 lei. Bayor je lah sebab walaupun agak dekat, aku dan Kak Ana dah tak sanggup nak menapak dalam sejuk tu.

SO, aku kongsikan di sini bajet kami pada hari 21 November tu di Brasov.

Brasov Day Trip:
Tour 2 Castles + Teksi – 55 lei
Tiket Rasnov Fortress – 10 lei
Tractor merah Rasnov Fortress – 4 lei
Tiket Bran Castle – 25 lei
Souvenier Bran Castle – 22 lei
Dinner di Ceasu’ Rau – 20 lei
Teksi dari Kismet Dao ke train station - 6 lei
Air mineral sebotol – 2.5 lei
Tambang keretapi Brasov ke Budapest - 183 lei
*harga pelancong antarabangsa. Cess..

 Total: 327.5 lei
*mahal yang amat belanja sehari kat Brasov ni! Tapi ni mahal sebab tiket train (sekali lagi aku gunakan ayat penyedap hati. Hihihi)

 
Untuk kisah perjalanan keretapi dari Brasov ke Budapest, aku sambung dalam post lain ye. 

 
You and I will meet again, When we’re least expecting it, One day in some far off place, I will recognize your face, I won’t say goodbye my friend, For you and I will meet again.
~Tom Petty

No comments:

Post a Comment