Tuesday, December 9, 2014

Brasov & Kisah Ngeri Rasnov Fortress


Kota Dracula: Brasov
Jarak Bucharest – Brasov: 186 km

 
Lokasi:
Brasov terletak di tengah Romania dan merupakan sebahagian daripada wilayah Transylvania dan dikelilingi oleh Pergunungan Carpathian. Ia juga terkenal dengan pusat-pusat peranginan berbukit dan merupakan bandar yang paling kerap dilawati pelancong jika ke Romania. Malah ada pepatah Eropah mengatakan, “Why bother coming to Romania if you're not going to see Braşov?". Selain dari tempat percutian tanah tinggi, Brasov penuh dengan istana-istana lama tinggalan sejak abad ke-12 sehinggalah kepada istana milik keluarga diraja terakhir Romania sebelum dipaksa menyerah takhta kepada rejim komunis.


Tiket Keretapi:
Tiket sehala dari Bucharest ke Brasov, 47 lei (dalam RM47).
*tiket dibeli di stesen keretapi pada pagi sebelum bertolak.


 
Gerabak ke Kota Dracula
Pagi November itu, aku ucapkan selamat tinggal pada Carmen dan berjanji akan menulis kisah sebenar tentang Romania supaya seantero dunia tahu hakikat negara bekas komunis itu. Tepat jam 5.25 pagi, keretapi bergerak perlahan-lahan keluar dari stesen keretapi Bucharest Gare de Nord menuju Brasov. Sepanjang 3 jam perjalanan, pemandangan disajikan dengan gunung ganang yang penuh warna-warna musim luruh, pepohon yang separa gondol tapi tetap cantik dari segi mata seni, langit biru dari terbit matahari pagi, lanskap yang dipenuhi dengan taburan rumah-rumah kotej berwarna-warni, orang-orang di tepi stesen-stesen kecil yang sentiasa tersenyum dengan pipi merah dek sejuk pagi, sambil sesekali mata aku menangkap bangkai-bangkai bangunan terbiar dari zaman komunis yang mereput menyembah bumi dan lensa kamera yang tak henti-henti aku talakan pada alam indah ciptaan Ilahi.
 
 
 
 
 


 
Memang aku rasa tak pernah cukup gambar-gambar yang dah aku ambil tapi ada ketikanya aku mengingatkan kembali diri supaya ambil masa, letakkan kamera ke bawah dan lihat sendiri alam dengan pandangan dua mata ini. Seize the moment and live in the moment. Itu pesan Ella pada aku. Gadis pengembara dari Australia yang aku kenal di Holiday Hostel Bucharest; mengembara solo dari Australia ke India, kemudian ke benua Eropah dan bakal menyambut Krismas tahun 2012 itu dengan abangnya yang bekerja sebagai guru di London sebelum Ella terbang pulang ke Tasmania. Memang mengkagumkan aku. Bayangkan, hanya dengan pakaian di badan dan sepasang yang lain, bag kecil berisi buku catatan, pen, buku lakaran dan kamera lomo serta 2 buah album yang telah dicuci dari filem sebelumnya, Ella mengembara merentas 3 benua. Jangan tanya tentang barangan lain, sebab begitulah aku menghantar dia yang akan menaiki penerbangan pagi di Otopeni Bucharest dalam gelap malam November di pintu Holiday Hostel. Sempoi. Selamba. Hebat. Prinsip uniknya, gulungan filem dalam kamera miliknya hanya akan digunakan untuk mengambil gambar sesuatu atau seseorang yang dirasakan membawa makna di satu-satu destinasi yang ditujuinya. Selebihnya, she lived in the moments and seized the memories in her mind. Aku, memang tak dapatlah nak mengikut style Ella tu. Sebab ingatan aku dah lama dipenuhi dengan nota-nota kuliah zaman university dan otoriti-otoriti yang digunakan saban hari dalam dunia kerja aku selama ni. Satu-satunya cara untuk aku ingat memori perjalanan aku ialah dengan gambar-gambar.
 

 
 

 
Berbalik pada tujuan kami ke Brasov, pertamanya sebab nak tengok istana-istana lama Vlad the Impaler di sana. Kedua, ialah untuk mendapatkan keretapi terus dari Romania ke Budapest. Bukannya tak ada keretapi dari Bucharest terus ke Budapest, tapi kami mahukan tempoh perjalanan yang ngam ngam kami sampai di Budapest sebelum petang keesokan harinya. Sampai di stesen Brasov, cuaca sejuk menyambut kami. Sebenarnya, bila berjalan musim luruh ni, memang tak dapat lari dari cuaca sejuk. Sebab tu pastikan korang bawak pakaian yang sesuai. Stesen Brasov mengelirukan sebab ada banyak tunnel bawah tanah yang hanya ada papantanda Bahasa Romania. Kami ikut je majority orang yang ada kat situ pegi mana, sebab secara logiknya, mesti diorang ni nak keluar dari stesen, kan? Hasilnya, memang kitorang berjaya keluar ke lobi stesen. Di lobi, pemandu teksi yang ditempah Carmen dah sedia menunggu. Mungkin dia senang nak kenal aku dan Kak Ana sebab pakaian kami pelik dari orang lain di situ. ‘Malaysia?’ tanyanya bersahaja. Pantas kami mengangguk serentak. Senyum bertukar, bag bertukar tangan dan kami pantas memanjat masuk ke dalam teksi pakcik ni. Aku betul-betul lupa nama pakcik ni walaupun Kak Ana dah tanya sebenarnya. Terlupa nak catat dalam buku travel aku, jadi, aku panggil pakcik teksi aje la ye.

Pakcik teksi yang berbahasa Perancis pasar
inilah pakcik teksi kami yang sangat baik hati tu
 
Tajuk ni memang dramatik tapi itulah hakikatnya. Sebelum komunis memerintah Romania, rakyatnya rata-rata mahir berbahasa Romania dan Perancis. Bila komunis memerintah, sebarang bahasa lain diharamkan kecuali Bahasa Romania. Akibatnya, Bahasa Perancis tidak lagi dituturkan sehinggalah jatuhnya kerajaan Causescu pada 1989. Setelah komunis jatuh, generasi muda lebih ramai mempelajari Bahasa Inggeris memandangkan tuntutan sosial ketika itu lebih mengutamakan Bahasa Inggeris. Makanya, hanya golongan tua yang boleh berbahasa Perancis dan makin lama, Bahasa Perancis hilang terus dari pertuturan orang Romania. Dijadikan cerita, bila komunikasi kami dengan pakcik teksi ni tergendala dek kekangan bahasa, pantas aku mencadangkan Kak Ana cuba-cuba selitkan satu dua perkataan Perancis dalam komunikasi ayam itik kami. Manalah tahu kalau pakcik paham. Mengejutkan, pakcik ni membalas sapaan Kak Ana dalam bahasa Perancis yang lengkap. Barulah kami tahu kemudian, yang dia boleh berbahasa Perancis, walaupun menurut Kak Ana gaya lenggok pertuturannya dah agak berkarat. Mungkin sebab dah lama tak bercakap kot. Selesai masalah pertuturan kami pagi tu.

Lagipun, pakcik teksi ni memang baik. Dia memang menjaga betul kebajikan aku dan Kak Ana; bawak kami ke ATM, patah balik ke stesen keretapi untuk beli tiket keretapi malam ke Budapest, bawak kami ke hostel yang menguruskan day trip kami di Brasov dan tak henti-henti mengingatkan aku dan Kak Ana untuk berhati-hati. Dia jugak rajin menyembang dengan Kak Ana tentang anak-anaknya yang dah berhijrah ke bandar-bandar lain luar dari Brasov, zaman indah sebelum komunis datang dan memuji keindahan Brasov pada kami. Pendek kata, sepanjang dalam teksi dengan pakcik ni, memang tak jemulah dengar celoteh dia. Walaupun secara zahirnya, aku tak paham sepatah haram apa yang dia cakap. Maka Kak Ana lah yang menjadi penterjemah dua hala dalam komunikasi aku dan pakcik teksi ni. Kemeriahan ditambah lagi kemudiannya dengan kehadiran sorang lagi backpacker yang join day trip kami pada pagi tu. Jadi, pakcik teksi, aku, Kak Ana dan Rafael (backpacker dari Brazil) memulakan day trip kami ke Rasnov Fortress  sebagai mukaddimah kembara hari itu.


Rafael dari Brazil
 
Rafael dan Kak Ana leka bersembang tentang plan dinner untuk petang tu sebelum kami berdua bertolak ke Budapest
 
Nama pun dah bunyi macam pemain bola sepak. Orangnya kecik molek dan memanjang tersenyum. Bertutur dalam bahasa Inggeris standard walaupun sesekali dia tergelincir (contohnya bila dia nak suruh aku berhati-hati berjalan kaki dan mengelakkan dari kereta-kereta yang datang; dia akan kata ‘take care, Faa..’ sedangkan sepatutnya kena cakap ‘be careful, Faa..’ ). Naik sakit perut aku tahan gelak. Nasib pandai cover. Rafael rupanya dah berkelana dekat nak sebulan lebih masa kitorang jumpa dia di Brasov ni. Dia berhenti kerja di Brazil dan ambik keputusan untuk mengembara ke Eropah sebelum dia balik ke Brazil dan mula kerja di tempat baru, di Stockholm dengan syarikat Electrolux. Dia memulakan arah yang bertentangan dari kami; dia dari London ke Poland, kemudian ke Prague dan seterusnya Budapest. Dari Budapest, dia ke Brasov dan bertemu kami sebelum esoknya dia akan meneruskan perjalanan ke Bucharest. Dari Bucharest, Rafael akan ke Sofiya di Bulgaria sebelum menaiki train ke Istanbul dan kemudian terbang ke Kiev, Ukraine. Destinasi terakhir Rafael mengikut perancangannya ialah ke St Petersburg, Rusia sebelum pulang ke Sao Paolo, Brazil untuk menyambut Krismas bersama keluarga. Sorang lagi pengembara berani yang panjang langkahnya, membuatkan sekali lagi aku dan Kak Ana ternganga kagum. Kalaulah aku ada modal sebanyak tu dan masa sepanjang tu untuk mengembara, sumpah aku memang buat. Tapi apakan daya, ini aje lah yang aku mampu buat. Syukur pada Allah atas kesempatan yang ada, walaupun taklah berbulan-bulan di jalanan macam pengembara tegar yang lain.  Walaupun mula-mula Rafael diam malu-malu kuda (mungkin sebab dia tengok kami ni gadis Melayu sopan santun meliuk lintuk), tapi setelah kami membuka borak, menyembanglah kami macam dah sepuluh tahun kenal. Sporting rupanya Rafael ni. Tak hilang sakit perut asyik gelak je memanjang masing-masing sebab buat lawak bodoh. Adalah kawan baru bagi kami di Brasov ni.
 
 
Rasnov Fortress
(kalau aku terjemahkan ke Kubu Rasnov, rasa kelakar pulak tajuk ni jadinya. So, aku kekalkan je dengan Rasnov Fortress, ye)


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiket:
Tiket traktor: 4 lei
Tiket masuk: 10 lei

Dari pekan Brasov ke Rasnov Fortress, kami menaiki teksi. Memang sepanjang day trip kami di Brasov, pakcik teksi nilah yang setia membawa kami dari satu istana ke istana yang lain. Perjalanan dalam 19km mengambil masa dalam setengah jam.
 


 
Highway yang kami lalu memang cantik dengan kiri kanan dipenuhi dataran padang ragut yang nampak menghijau walaupun ditutupi kabus tebal pagi itu. Sayup-sayup aku nampak kekawan biri-biri berbulu tebal meragut berkumpulan dengan beberapa ekor kuda tegap jugak kelihatan meragut rumput yang sama. Langit biru mengenepikan kabus yang sekadar penuh di jalan, pergunungan Carpathian mengelilingi highway yang kami lalui dan memang sejuk walaupun dalam teksi tu ada heater. Rasnov Fortress ni dikatakan adalah salah satu daripada ratusan kota milik Vlad the Impaler masa zaman kegemilangannya.




 
 

Kalau mengikut penerangan dekat papantanda kota ni pun, di sini ahli arkeologi turut mengesan bukti-bukti kewujudan aktiviti manusia seawal zaman prasejarah. Kota ini dibina sekitar 1211 dan 1225, semasa zaman pemerintahan pahlawan-pahlawan Teutonic (tentera Katolik German atau turut dikenali sebagai Teutonic Order). Kira-kira 239 tahun selepas itu, Vlad the Impaler naik memerintah menggantikan bapanya, Vlad II Dracul. Kota ini pada mulanya menjadi tempat perlindungan rakyat di kawasan sekitar. Apabila kedudukan kawasan sekitarnya yang terletak di tengah-tengah jalan di antara Bran dan Burzenland sering diserang tentera-tentera penakluk bermula daripada kerajaan Turki Uthmaniyyah, penyokong revolusi Hungary sehinggalah kepada bala tentera diraja Austria; penduduk setempat telah membina penempatan kekal di dalam kota ini. Satu binaan yang dianggap mistik di dalam kota ini ialah sebuah telaga yang mengikut lagenda tempatan, digali oleh 2 orang tahanan perang iaitu tentera Turki. Mereka berdua dipaksa menggali telaga ini dan dijanjikan dengan pembebasan jika telaga berjaya digali dan bekalan air bagi penduduk kota berjaya ditemui. Telaga ini digali oleh kedua-dua askar Turki ini selama 17 tahun di mana mereka telah memahat ayat-ayat dari kitab suci al-Quran di dalam dinding perigi ini, yang boleh dilihat sehinggalah ke hari ini. Nasib kedua-dua tahanan perang tersebut tidak dapat dipastikan secara sahih. Terdapat 2 versi iaitu ada yang percaya mereka telah dibebaskan, dan ada juga yang mengatakan bahawa kedua-duanya telah dibunuh setelah perigi ini siap digali. Telaga ini telah digunakan sehingga tahun 1850 dan penggunaannya dihentikan apabila roda di dalam telaga yang berfungsi menaikkan baldi tembaga patah; dan sejak itu telaga ini telah dibiarkan sehingga hari ini. Apa yang aku konfius, ialah, dekat mana yang mistiknya perigi ni.
 


 
Selain dari kisah perigi di atas, lagenda setempat juga menyatakan bahawa semasa zaman pemerintahan Vlad the Impaler, askar-askar Turki yang ditawan telah disula di kota ini ketika hari menjelang subuh. Jeritan askar-askar yang disula ini kedengaran berbatu-batu jauhnya sehingga ke pekan Brasov. Ala-ala macam intro dalam cerita Dracula Untold tu la, yang askar-askar Turki ramai gile disula Vlad the Impaler. Malahan, Rasnov Fortress ini juga tersenarai di antara 20 tempat paling aktif dengan aktiviti paranormal di Romania dan di seluruh Eropah. Antara aktiviti paranormal yang dilaporkan berlaku di sini ialah kedengaran suara-suara manusia dan binatang walaupun tiada pengunjung pada ketika itu, kehadiran bayangan-bayangan hitam, bunyi-bunyian yang tidak dapat dijelaskan asalnya, kabus misteri yang muncul secara tiba-tiba dan jelmaan-jelmaan yang kerap dilihat pekerja-pekerja di Rasnov Fortress ini dan juga penduduk tempatan serta pengunjung yang ada.

Tengok peta Rasnov Fortress tu. Jauh nak menapak ke atas kota tu.Sebab tu kami naik traktor merah dalam gambar bawah ni. Tapi, kalau ada yang pulun nak exercise jugak, silakan berjalan kaki. Tengok mengah ke tidak..





 
Dari segi pengalaman kami bertiga, tak dapatlah mengesahkan samada normal atau paranormal apa yang kami lalui. Cuma apa yang boleh aku kongsikan, memang masa kami tiba sekitar pukul 8 pagi (harus diingat, di sana pukul 6 pagi dah siang ye), di kawasan parking teksi memang cerah. Cuma bila tiba di pintu masuk istana, kawasan sekitar ditutupi kabus tebal. Mungkin masa tu musim luruh, jadi pengunjung tak ramai. Malah, masa kami tiba pun, memang takde pengunjung lain lagi. Untuk naik ke kota ini, pengunjung perlu naik traktor dari tempat parking di kaki bukit ke pintu masuk kota yang terletak di puncak bukit. (Perjalanan pergi balik ialah sebanyak 4 lei. Semua orang memang kena bayar 4 lei, melainkan korang sanggup menapak naik ke atas dan turun. Sejuk woo). Sepanjang perjalanan dalam traktor merah tu, memang kabus dah mula mengaburi pandangan mata kitorang.
 
 
 
Pintu masuk Rasnov Fortress
 
 
Sampai di pintu masuk, adalah sorang penjual tiket yang aku tengok mukanya cuak je. Tiket sorang 10 lei. Masuk je ke pintu gerbang kota ni, bulu roma aku meremang. Mungkin sebab sunyi sangat, dan hanya kami bertiga je yang ada (pakcik teksi tunggu kat parking teksi). Ini ditambah lagi dengan kabus yang makin menebal. Pandangan pun terhad tapi disebabkan aku memang batak nak ambik gambar dan masing-masing excited terlebih nak explore tempat ni (masa ni, kami tak tau langsung tempat ni tersenarai dalam 20 senarai teratas most notorious site for paranormal sightings in Romania and in whole Europe). Hamekkau, memang seram. Tapi dek sebab masing-masing buat bodoh je dalam kabus yang agak tebal tu, kami teruskan meneroka seluruh kota ni. Memang takde orang lain. Dalam 3 jam lepas tu, barulah kami jumpa pengunjung-pengunjung lain kat dataran terbuka dalam kota ni. Alhamdulillah, takde pulak aku dengar bunyi-bunyian atau nampak sebarang jelmaan. Cuma kawasan tu memang sunyi sepi la. Bunyi angin je yang kuat bertiup sebab Rasnov Fortress ni atas bukit. Tapi yang konfem, meremang bulu roma memang ada.
 

 
 
 
 
 
 

 
Keseluruhan kota ni memang cantik. Binaan yang beratus tahun tu pun nampak sangat kukuh. Aku tak dapat bayangkan macamanalah orang dulu-dulu mendaki naik ke kota ni, dengan bawak anak bini, barang-barang, periuk belanga bagai. Mengah wei!
 


 
 
Aku jumpa telaga yang dikatakan mistik tu, tapi aku tak pulak intai sampai ke dalam perigi, jadi tak nampaklah samada betul ada kesan pahat ayat-ayat al-Quran macam yang dikatakan dalam penerangan kat pintu masuk kota ni atau tidak. Aku perhatikan, bumbung-bumbung binaan yang masih ada memang kukuh sebab diorang gunakan batu yang ala-ala atap genting sekarang. Seekor kucing atau anjing pun aku tak jumpa sepanjang 4 jam atas kota ni. Pelik.Pelik.
 








 
Jadi, kalau ke Brasov, pastikan Rasnov Fotress termasuk dalam itineri korang. Rugi kalau tak pegi. Cuma, mungkin kena book tour dari hostel tempat tinggal korang, sebab public transport nak ke kawasan ni nampak sangat tak memberangsangkan. Aku pun tak pasti ada ke, tidak. Jemputlah tengok gambar-gambar yang ada ni, ye.
 

 


“They told of dripping stone walls in uninhabited castles and of ivy-clad monastery ruins by moonlight, of locked inner rooms and secret dungeons, dank charnel houses and overgrown graveyards, of footsteps creaking upon staircases and fingers tapping at casements, of howlings and shriekings, groanings and scuttlings and the clanking of chains, of hooded monks and headless horseman, swirling mists and sudden winds, insubstantial specters and sheeted creatures, vampires and bloodhounds, bats and rats and spiders, of men found at dawn and women turned white-haired and raving lunatic, and of vanished corpses and curses upon heirs.”
―Susan Hill

No comments:

Post a Comment