Monday, November 3, 2014

Di Balik Wajah Bucharest: Realiti vs Mitos


 
 
Novel Dracula karya Bram Stoker aku baca seawal tingkatan satu zaman sekolah dulu. Akibatnya, aku membayangkan Romania mestilah penuh dengan cerita-cerita mistik berkait Dracula. Kelakarnya, bila berada di Romania, barulah aku tahu bahawa Vlad the Impaler atau Vlad Tepes bukanlah satu karekter gilakan darah dan kejam seperti gambaran Bram Stoker dalam novel Dracula nya. Sebaliknya manusia bernama Vlad the Impaler atau Vlad Tepes ini merupakan Prince of Wallachia, antara tokoh Romania yang disanjung kewibawaannya sebagai pemimpin terutamanya dalam menentang kemaraan dan penguasaan Empayar Turki Uthmaniyyah di rantau Balkan ketika itu. Barulah aku tahu bahawa Dracula versi Bram Stoker wujud 400 tahun lebih setelah kewujudan Vlad Tepes itu sendiri. Malahan, Dracula milik Bram Stoker sekadar meminjam nama, keberanian dan kekejaman Vlad terhadap orang Turki sahaja, di samping Bram Stoker mengangkat nama keluarga Vlad Tepes iaitu ‘House of Draculesti’ sebagai Dracula; sedangkan House of Draculesti sebenarnya adalah salah satu cabang keturunan raja-raja berdaulat Romania sejak dari abad ke 14 lagi. Nama Draculesti itu sendiri diambil dari kesatuan Order of the Dragon yang merupakan brotherhood dari Perang Salib yang bersumpah setia untuk mempertahankan agama Kristian dan melawan musuh-musuh Kristian; terutamanya Turki Uthmaniyyah pada ketika itu.  Begitulah panjangnya kisah sebenar Vlad the Impaler ini, langsung tidak berkait dengan manusia penghisap darah manusia.
 

 
Tinggalan kota Vlad the Impaler hasil ekskavasi arkeologi dari seluruh Romania. Sayangnya muzium ni tutup pulak time kami datang.
 
 
 

 Rosetta Stone atau Batu Bersurat dipercayai mengandungi catatan undang-undang di bawah pemerintahan Son of  Dracul II, Vlad the Impaler.


Di Balik Wajah Bucharest
 










 
 


 
Bucharest sebenarnya adalah sebuah bandar yang cantik, penuh dengan binaan bangunan lama yang selalu kita tengok dalam cerita-cerita perang Dunia Pertama, binaan bangunan gergasi lambang penguasaan Komunis satu masa dulu dan sejarah berwarna warni rakyatnya sendiri yang sudah sebati dengan derita seawal di bawah pengaruh kuku besi Kesatuan Soviet sehinggalah kepada kekejaman polis perisik komunis Securitate.



Aku tanya orang Romania, apa maksud flyers ni. Katanya ini salah satu tokoh masa rejim Komunis dulu dan ada percubaan untuk hidupkan kembali fahaman komunis di Romania. Aku pulak, gambar ni diambil sebab dia ni macam hensem je. Ha.ha.ha.



 
 
 
 
 
 
 





Selain dari bangunan-bangunan lama, buku pun banyak dijual secara longgok di hadapan Carol University Romania ni. Aku ada belek jugak, masalahnya, semua dalam bahasa Romania. Tak dapek den nak nolong eh!
 
 
Berbekalkan tulisan-tulisan negatif pengembara barat yang aku baca sebelum menjejakkan kaki ke Romania, dan cerita-cerita hodoh bangsa gipsi yang digeruni serta bayangan kemiskinan rakyat Romania itu sendiri, aku termalu setelah bertemu dan bergaul dengan orang tempatan di bandar Bucharest ini. Bermula dari pakcik berwajah ganas tapi budiman di Otopeni Airport yang bersusah payah menaikkan aku dan Kak Ana ke atas bas yang betul, kepada staff-staff Holiday Hostel yang terlalu banyak membantu kembara kami di bumi Vlad Tepes itu, melarat pula kepada kejujuran dan kerendahan diri Mihai selaku pemandu Free Walking Tour kami di bandar Bucharest yang sedaya upaya menceritakan sejarah sebenar Romania kepada kami tanpa segan silu kepada sejarah gelapnya yang sehingga kini menjadi bahan ketawa di kalangan negara Kesatuan Eropah, kesungguhan muda mudi Romania dalam mengangkat martabat Romania walaupun sokongan kerajaan sangatlah sedikit aku perhatikan, bantuan mesra anggota polis di stesen-stesen bawah tanah Metro yang gigih menunjukkan arah yang betul kepada kami walaupun mereka merangkak bertutur dalam Bahasa Inggeris pasar, kebaikan hati orang-orang di jalan yang sanggup berhenti dan menunjukkan kami arah kaunter tiket dan jalan-jalan pintas di sekitar Bucharest serta memenuhi harapan kami untuk ke Hard Rock Bucharest, kesungguhan pasangan bercinta yang sedang bercengkerama yang sanggup berhenti sekejap untuk membantu kami mencari jalan yang dicari, makcik berkuku merah menyala yang bangga menceritakan indahnya Romania yang bergunung ganang dalam bahasanya dengan kami yang mengangguk-angguk leka seolah-olah paham sangat akan bicaranya, hinggalah kepada pakcik tua pemandu teksi di Brasov yang sangat mementingkan keselamatan kami sepanjang perayapan kami di bandar Brasov.
 
Inilah pakcik teksi Brasov yang menjaga kami sepanjang di Brasov. Sangat baik, peramah walaupun selain bahasa Roania, dia hanya boleh berbahasa Peranchis. Jawapnya, Kak Ana aje lah yang layan dia menyembang. Aku jadi tukang angguk. Ha.ha.ha.
 
Sungguh, tak terbalas rasanya bantuan-bantuan bersahaja mereka pada aku dan Kak Ana yang banyak memudahkan kembara kami di bumi Romania yang sangat asing tanpa saudara ini. Percaya atau tidak, selain daripada komunikasi aku dengan Carmen, Mihai, Silvia dan anggota-anggota polis berbahasa Inggeris asas, selainnya kami berkomunikasi ayam itik standart antarabangsa. Alhamdulillah, bantuan Allah itu ada di mana-mana. Hatta tanpa bahasa yang sama pun, kami selamat jua.











 

Bagi Bucharest sendiri, potensi bandar antarabangsa memang ada. Cuma mungkin kerajaannya perlu melaburkan wang ringgit dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencantikkan Bucharest. Bangunan bersejarah yang masih terpelihara sangat banyak di sana, di tambah pula dengan kedudukan negara ini yang agak terselamat daripada kekerapan pengeboman tentera-tentera berperang sepanjang Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.
 

 
 
 

Brasov pula merupakan sebuah kota raja yang terletak betul-betul di tengah belahan pergunungan Wallachia yang merentangi Romania.
 
 
 
 
Dalam perjalanan ke Brasov, aku terbayang novel Bram Stoker yang menggambarkan perjalanan Jonathan Harker dari Amerika ke tanah Transylvania yang digambarkan sangat mistik itu. Brasov sangat cantik dan terpencil, sunyi dan misteri, menawan dan penuh kehidupan, bangunan-bangunan lama dan baru saling seiring wujud di bandar ini dan tarikan pelancongan yang paling terkenal pastinya istana-istana lama tinggalan Raja Romania termasuklah kota-kota Vlad the Impaler. Sedikit pun tak sesuram dan seseram gambaran Bram Stoker yang aku baca selama ini.
 



 
 
 






 
Sayangnya, kami hanya sempat menikmati Brasov sepanjang hari 21 November itu sebelum berangkat ke destinasi seterusnya dengan keretapi Transylvania yang tersohor pada sebelah malamnya. Dalam hati aku simpan niat untuk kembali. 
 
 

 
 
 


 
Terbukti, tulisan-tulisan negatif pengembara barat membuatkan aku jengkel dengan kesinisan dan kedangkalan pemikiran mereka. Datang dan saksikan sendiri definisi Romania. Romania, kota lama ibarat kota selepas perang dengan seribu satu sejarah luka tapi penuh dengan hati-hati yang ceria menghadap masa depan yang belum pasti warnanya. Dalam setiap degup nadi rakyat Romania, masih ada semangat juang Putera Wallachia, Vlad yang disangka Dracula.
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 




 

Kalau korang berpeluang menjejakkan kaki ke Romania, berjalanlah dan terokailah alam Romania. Uniknya tak tercerita oleh aku dan indahnya tak terakam dek kamera yang tergantung di leher hamba.


 
 
 



 
 
 
Remember what Bilbo used to say: It’s a dangerous business, Frodo, going out your door. You step onto the road, and if you don’t keep your feet, there’s no knowing where you might be swept off to.
– JRR Tolkien
 

2 comments:

  1. As Salam...
    Wow.... one of the best blog I came across....
    Well written blog and superb pictures...SubhanaAllah
    I'm now your official fan...ada facebook tak nak minta add Kak Rozie
    Thanks for sharing...
    Keep writing....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam Kak Rozi,
      Terima kasih sudi membaca catatan perjalanan yang ada.
      Saya ada fb page. Faa's Backpackering. Sudilah jenguk ;-)
      InsyaAllah saya cuba update catatan-catatan yang tergendala sekerap yang mungkin.
      Harapan saya satu je, supaya semua orang sedar yang kita boleh pergi ke mana saje. Nothing is impossible.
      Thanks again, Kak Rozie :-)

      Delete