Monday, November 3, 2014

Di Balik Wajah Bucharest: Ada Apa Dengan Bucharest?

Bandar Bucharest dan kumpulan Free Walking Tour kami memandang kagum pada si kuda hitam dan penunggangnya. Aku dah lupa siapa penunggang kuda tu. Salah seorang Raja Romania rasanya.
 

Negara: Romania
Ibukota: Bucharest
Bandar-bandar lain: Galati, Iasi, Cluj-Napoca, Brasov, Ploiesti, Craiova dan Timisoara.
Kadar Tukaran Wang:
1usd = 3.5 RON (Romanian Lei)
RM1 = 1.07 RON/lei

*ini adalah tukaran sekarang. Tapi masa aku pegi 2012, rasanya lebih kurang je. Kesimpulannya, memang sama je nilai Ringgit kita dengan duit RON ni. Tapi sebab diorang ni negara Kesatuan Eropah, maka harga barangan mahal dan sejujurnya, aku tak rasa diorang bersedia dengan gap ekonomi yang sangat jauh tu. Lagipun masih baru Romania menyertai EU iaitu pada 1 Januari 2007. Baru 5 tahun masa aku pegi 2012 tu. *panjang pulak komen aku bab Romania dan EU ni kan. Sori.Sori. seperti biasa,kami withdraw duit melalui mesin ATM yang ada kat airport. Kami masing-masing withdraw 300 lei untuk belanja sepanjang 2 hari di Bucharest. Cukup atau tidak, meh kita tengok!

 
Teliti kan orang Eropah? Penutup lubang jalan pun macam cop mohor.


Lokasi:
Terletak di Semenanjung Balkan dan di pantai barat Laut Hitam, Romania bersempadankan Hungary, Serbia, Ukraine, Moldova dan Bulgaria. Bahagian tengah Romania didominasi oleh Pergunungan Carpathian yang sangat terkenal dengan lagenda Dracula. Mukabumi Romania bergunung ganang dan berlembah. Brasov merupakan tempat bermain ski paling murah di Eropah, semasa musim sejuk. Sayang, tak ramai yang tahu pun pasal Romania ni disebabkan tulisan-tulisan negatif pengembara barat yang lain.


Pakcik ni mintak izin nak ambik gambar aku dan kamera aku. Sebagai balasan, aku ambik gambar dia dengan kamera dia. Ini Nikon vs Canon. Ha.ha.ha.

 
Bandar Bucharest membuatkan aku speechless.
Kenapa?

Sepanjang jalan dari Otopeni Airport ke bandar Bucharest pagi 20 Nov tu, aku seolah-olah berada dalam sebuah negara yang sedang dilanda peperangan. Jalan kiri kanan dipenuhi rumah-rumah besar kecil yang separa ranap dan uzur, ladang-ladang terbiar dengan lalang dan rumput meliar, binatang ternakan seperti bovine (keturunan lembu tapi baka besar Eropah) berkeliaran seperti tiada tuan, penduduk sekitar yang berjalan perlahan di bahu jalan; ada yang menahan bas untuk naik dan tak kurang ada yang turun dari bas kami, jalanraya yang suram dan sangat lengang kecuali bas kami dan beberapa kereta kecil yang gagal aku kenalpasti model apa. Langit November yang suram menambahkan lagi aura negara seperti dalam perang itu. Semakin jauh bas bergerak, semakin banyak rumah-rumah agam dan villa terbiar di kiri kanan jalan. Aku kehairanan mengenangkan ke mana perginya pemilik rumah-rumah tersebut. Rumah nampak tegap, cuma terbiar. Nak bertanya orang, aku serba salah. Sebab dalam bas ni, hanya aku dan Kak Ana yang pelik. Pelik dari segi pakaian dan warna kulit. Aku syak, diorang bajet kami ni gipsi ekoran dari warna kulit kami yang cekelat ni (rata-rata orang Romania ni memang putih macam minah minyak wangi tengik dalam flite tu), tapi bila tengok backpack yang sarat di tepi kaki, diorang jadi konfius. Muka gipsi, tapi backpack macam traveller. Hampir semua mata memandang kami, ditambah pulak dengan bahasa diorang yang aku sepatah haram tak paham. Sah diorang tengah bincang pasal kitorang. Untuk mengurangkan kejakunan kitorang, aku dan Kak Ana pun sembanglah buat konfiden dalam bahasa Melayu. Hahahaha. Padan muka korang. Tak paham kan??

 
 Di Bucharest, terdapat banyak bar dan tavern macam ni. Sayangnya, aku dan Kak Ana tak masuk pun.
 
 
 
 Pengaruh senibina Islam ketara Nampak walaupun di biara-biara dan gereja lama diorang. Agaknya inilah kesan penaklukan empayar Turki di Balkan.
 
 

 Salah sebuah biara Greek Ortodok yang sempat kami kunjungi. Kat dalam tu terang diterangi lilin. Aku tak duduk lama sebab asyik nak bersin. Mungkin sebab ada pengunjung yang tak suka mandi kot..


 
 


Pengangkutan di Bucharest:

Bucharest mempunyai sistem Metro bawah tanah antara yang tertua di rantau Eropah selepas Budapest dan kota London. Metro dia meliputi seluruh bandar Bucharest. Ada juga bas untuk ke tempat-tempat tertentu yang Metro tak sampai. Contohnya kalau nak ke Hard Rock, korang kena naik bas sebab Metro hanya sampai main station je. Tiket-tiket boleh dibeli di gerai suratkhabar di stesen Metro atau di kedai buku kecil yang terdapat di sekitar pekan Bucharest. Tiket ini beharga 2 lei seorang bagi satu perjalanan ke mana-mana sahaja dengan Metro. Nak naik kena ketip hujung tiket di mesin tersedia sebelum turun escalator ke bawah tanah. Tiket hanya sah untuk satu perjalanan sehala sahaja. Tiket-tiket boleh dibeli banyak-banyak sekali, tapi setiap keping tetap untuk sehala sahaja. Mungkin korang boleh beli tiket seminggu atau pas sehari, tapi aku tak pasti. Aku dan Kak Ana beli tiket sehala-sehala sebab ada destinasi yang aku naik bas. Lagipun aku merayap seharian je di Bucharest, di samping sebelah pagi masa dihabiskan dengan ikut Free Walking Tour bersama Mihai.


Bas pulak guna tiket lain bergantung kepada destinasi-destinasi. Tiket-tiket bas boleh dibeli di kaunter stesen bas atau kaunter-kaunter yang banyak terdapat berhampiran perhentian bas utama di sekitar Bucharest.

 
Satu lagi menara di tengah Bandar Bucharest.


Tiket Metro sehala: 2 lei

Tiket bas sehala: 4.25 lei

 
Tugu Peringatan Perjuangan Rakyat yang bangkit menentang Komunis di jalan-jalan Bucharest pada tahun 1989, yang akhirnya membawa kepada kejatuhan rejim Komunis terakhir di benua Eropah.


Tiket keretapi ke mana-mana destinasi ke serata Romania boleh dibeli di stesen Bucharest Gare de Nord. Untuk tiket ke Brasov, aku beli pagi hari nak bertolak tu jugak di stesen.

 
Ini namanya Maniu, salah seorang tokoh nasionalis Romania yang menentang Komunis. Maniu asalnya seorang sasterawan, akhirnya ditangkap dan dipenjarakan rejim Komunis sehingga mati di dalam penjara sebelum sempat melihat kejatuhan rejim itu.
 
 
 Antara mereka yang terkorban dalam pemberontakan terhadap rejim Komunis circa 1989.


Pandu arah:

Ke Hard Rock Café: naik Metro dari hostel aku, stesen Metro nama Universitate ke stesen Uniilator. Kemudian, beli tiket bas di kaunter yang ada sekitar situ, bas no.131 atau 335 dari Uniilator ke bangunan Hard Rock Café yang terletak dalam taman. Kalau agak-agak tak jumpa, korang kena ringan mulut tanya orang sekeliling. Nak balik pun ikut jalan yang sama. Tapi kalau rajin naik bas, boleh naik bas no.131 atau 335 balik ke stesen Uniilator dan cari pulak bas ke Piata Unirii. Bas nombor berapa? Aku tak tahu sebab aku naik Metro.

 


Di Romania, memang jalan-jalannya diperbuat daripada susunan kemas kayu-kayu jati yang berusia beratus tahun. Memang banyak jalan macam ni aku jumpa. Unikkan?



Kedai cenderamata banyak di Bucharest tapi kena pandai cari. Kena cari di tempat-tempat yang banyak tumpuan pelancong. Tapi aku ingatkan, harga cenderamata sangat mahal. Walaupun nilai duit diorang sama dengan kita tapi harga setiap barangan adalah 2 kali ganda. Ini disebabkan oleh keadaan ekonomi Romania yang masih bertatih dalam Kesatuan Eropah dan keperluan untuk Romania mengejar taraf ekonomi supaya selari dengan taraf ekonomi rata-rata negara Kesatuan Eropah. Sukar kan? Tak hairanlah negara segah Greek pun boleh jatuh muflis disebabkan menyertai Kesatuan Eropah. Itu pendapat aku je la selaku pemerhati biasa tanpa ijazah kehormat dalam bidang ekonomi. Ha.ha.ha.

 

 Inilah stok makanan aku dan Kak Ana, dilonggokkan sesampainya kami di Holiday Hostel Bucharest. Nak pilih menu lah katakan..
 
 
 
 
 
 
 


Makan:

Sejujurnya, aku dan Kak Ana tak konfiden langsung jumpa makanan halal kat Bucharest. Walaupun ada jumpa kedai vegetarian, tapi aku tengok diorang pun ada serve babi. Nasiblah kami memang bawak bekalan makanan banyak dari tanahair tercinta. Sarapan pagi, aku minum Milo dan biskut. Makan tengahari kami bawak maggee cup dalam bag dan berhenti minum kopi kat mana-mana sambal buat muka tebal mintak air panas untuk maggee kami. Makan malam, aku makan nasi Brahim yang kami bawak. Ada 3 pilihan, nasi biryani ayam merah, nasi goreng kampong ikan bilis atau nasi dengan kari ayam dan kentang. Senang. Jadi, bajet untuk makan memang takde masa kami di Bucharest. Kalau ada pun aku sekadar beli air mineral.


 


Romanian Athenaeum yang terletak di tengah-tengah Bandar Bucharest merupakan dewan konsert yang ala ala PETRONAS Philharmonik.
 
 



Bajet dua hari di Bucharest (seorang) 19-21 Nov 2012     

Withdraw 300 lei                                             

Metro dari Universitatii ke Uniilator  - 2 lei                                                       
Bas dari Uniilator ke Hard Rock Café Bucharest - 4.25 lei
Bas balik dari Hard Rock café ke Uniilator - 4.25 lei
Metro dari Uniilator ke Universitate - 2 lei
Hard Rock Café T-shirt sehelai - 105 lei
Souvenier (FMs & postcards)  - 72 lei
Laundry dengan hostel  -10 lei
Taxi dari hostel ke stesen keretapi - 6 lei
Tiket keretapi dari Bucharest ke Brasov - 47 lei

Total: 252.50 lei
*baki duit: 47.50 lei

 





Free Walking Tour Bucharest – 20 Nov 2012

Kami ikut tour ni yang dikendalikan oleh Mihai pada sebelah pagi 20 November. Tour ni free sebab kena jalan kaki serata bandar Bucharest. Kami bermula di Piata Unirii Park dan berjalan ke kawasan bangunan museum arkeologi Bucharest yang sayangnya tutup pada hari tu. Mihai bawak kami ke semua landmark bandar Bucharest dan aku mengambil kesempatan yang ada merakamkan sebanyak gambar yang boleh dalam kamera aku. All in all, aku rasa dekat nak 10km kami berjalan serata Bucharest. Puas hati dan penat kaki. Di akhir tour, kita boleh bagi duit saguhati kat Mihai bergantung kepada masing-masing. Cubalah follow tour anjuran Mihai dan ada harinya, abang Mihai pun turut serta iaitu Stephane.
 


Manuc's Inn atau Hanul lui Manuc merupakan hotel tertua yang masih beroperasi di Romania. Sayangnya masa aku kat situ, hotel ni diorang buat renovation. Tak dapat tengok interior kat dalam tu.
 
 
 
 
 



Sepanjang 2 hari di Bucharest, memang kami tak beli langsung makanan luar. Jadi, bajet untuk makan memang jimat di Bucharest. Itu juga bermakna, bag kami sedikit ringan sebab bekalan makanan dah sedikit berkurang. Aku dan Kak Ana tak masuk ke museum atau galeri di Bucharest sebab kebanyakan tempat tutup pada hari kami join Walking Tour tu. Kami masuk ke bangunan lama lain yang tak berbayar dan melawat banyak taman peringatan perang sekitar Bucharest. Dua hari di Bucharest memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan aku tentang Romania selama ini. Hari ketiga, 21 November, menyaksikan aku dan Kak Ana menaiki keretapi ke bandar Brasov yang terletak kira-kira 186km dari Bucharest. Aku sambung pada post lain ye!



The Italian Church of the Most Holy Redeemer, gereja ni dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Itali. Kalau nak tahu, sejak Romania menyertai EU, banyak tanah-tanah terbiar dipajakkan dan dibeli oleh pendatang Itali yang tak mampu nak beli tanah yang mahal di Itali. Kehadiran peladang-peladang Italini seolah-olah mengancam hak pemilikan Tanah untuk orang Romania. Tapi apakan daya, itulah harga yang perlu dibayar demi menyertai EU.
 
 
 

Stavropoleos Monastery, merupakan biara tertua Greek di Romania.














 
 

Coltea Hospital yang dibina pada tahun 1704, merupakan hospital pertama di Romania. Mesti berhantu ni!



 

All travel has its advantages. If the passenger visits better countries, he may learn to improve his own. And if fortune carries him to worse, he may learn to enjoy it.
– Samuel Johnson



4 comments:

  1. Harap-harap dptlah suatu hari jejakkan kaki ke sini jugak.
    Btw, nak tanya sepanjang travel ni mmg keluarkan duit thru atm je ke? pernah baca cara ini lagi jimat drpd tukar duit, cuma tak pernah try. Procedure dia just maklumkan ke bank simpanan je ke or ada apa2 requirement lain lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, sampai nanti.
      Memang duit kitorang withdraw dari ATM je. Tak payah go through money changer. Cekik darah!
      Procedures senang je. Maklumkan pada bank bila nak pegi, tarikh dan negara apa yang nak pegi tu. Dulu masa pegi, sekali withdraw kena charge RM10.Sekarang tak tahu tapi should be around that je la

      Delete
  2. Boleh ye withdraw duit guna atm kt europe? Bukan ke dorg pakai 4 pin punya ATM?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh masa saya pegi tahun 2012 tu. Tahun lepas 2014 pun boleh lagi. Withdraw guna mana-mana jenis mesin ATM pun boleh. Tapi make sure sebelum pegi, maklumkan pada bank yang berkenaan.

      Delete