Sunday, October 26, 2014

Kisah Kota Istanbul: Semalam di Sabiha


Setelah lebih kurang 2 hari kami merayap di bandar Istanbul, pada pagi 19 Nov 2012, aku dan Kak Ana terbang ke ibukota negara Romania iaitu Bucharest. Kami terbang dari Sabiha Gokcen Airport Istanbul yang beroperasi seprti terminal KLIA 2 iaitu melibatkan penerbangan bujet, domestic serta penerbangan ke rantau Eropah yang lain. Kawasan airportnya tidaklah besar, tetapi bagi yang beragama Islam, terdapat surau yang cukup selesa dan tandas-tandas yang bersih. Yang tak bestnya, tidak dibenarkan tidur di dalam surau. Malah lebih mengejutkan, terdapat pegawai polis airport yang bertugas dan meronda kawasan surau bagi memastikan tiada orang yang tidur di situ. Aku dan Kak Ana turut sama dihalau dari surau pada jam 3 pagi (kami tidur semalaman di airport kerana flite pagi ke Bucharest). Berbuku marah di hati mengenangkan pegawai polis airport yang langsung tak berperikemanusiaan. Kami bukannya gelandangan, kami traveller kot. Siap ada tiket penerbangan esok pagi. Tapi sayangnya, itupun tak dihiraukan mereka. Apa boleh buat, malam itu kami tidurlah duduk di kerusi menunggu airport dengan hati yang marah. Dah la badan penat akibat dari ‘cross country running’ dari Sultanahmet ke Sabiha, malamnya kena seksa tak boleh tidur lurus pulak. Sabor je la.

 


Sabiha Gokcen ni adalah nama anak Mustafa Kamal Attaturk yang menjadi wanita pertama jadi pilot di Turki. Sebab tu diorang guna nama dia untuk airport ni. Kawasan airport besar, kedai banyak dan yang paling penting, tempat balut bag ada. Banyak penerbangan beroperasi dari sini ke serata Eropah. Penerbangan memang 24 jam. Maknanya, airport ni memang tak tutup. Bagi pengembara gelandangan macam kami, taklah menakutkan Sabiha ni. Ramai orang, terang benderang dan aircond sejuk yang amat.
 

 mamat ni kiranya jadi model tak rasmi la malam tu. Gaya dia yang bajet model tu memang aku tak boleh blah tengok. Layan je la bang oi! Penat menunggu nak check in gamaknya..
 

 



 
 




Penerbangan ke Bucharest menggunakan Pegasus. Kapalterbang Pegassus ni merupakan salah satu
penerbangan bujet milik Turki dan seating di dalamnya seperti Air Asia. Tiada makanan disediakan melainkan penumpang beli sekali online. Kitorang memang tak beli makanan dalam flite. Cukuplah roti sesame yang dah keras, yang aku sempat beli semalam di stesen furnicular Kabatas. Tiket aku beli online melalui laman web Pegasus. Kalau beli awal, dapat tiket murah. Tiket ke Bucharest sehala beharga 33 euro bersamaan dengan RM132. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 45 minit. Murah sebab dah termasuk bagasi sebanyak 20kg. Bagasi memang Pegasus bagi, tak payah bayar macam Air Asia.

Masjid tulis kat situ. Tapi, aku rasa surau je kot sebab tak besar dan kalau ikut logic, takkanlah orang boleh sembahyang Jumaat dalam surau tu. Atau mungkin orang Turki panggil surau kot..
 
 karpet dah sedap dah surau ni. Sayang tak boleh pulak tidur golek-golek.
 
Perjalanan 2nd length ni bermula dengan cabaran pertama apabila kami berdua ditahan kastam dan imigresen Turki semasa melangkah masuk ke balai berlepas. Pegawai kastam ambik passport kami dan menghilangkan diri selama 15 minit di dalam pejabat , manakala kami dibiarkan berdiri di pintu boarding hall. Cuak tak payah cakaplah. Seriau takut dihalang daripada meneruskan perjalanan. Tapi, puas aku ingat-ingatkan balik, aku memang yakin untuk rakyat Malaysia nak masuk ke Romania memang tak payah pakai visa. Rupanya pegawai kastam tu sebok mencari nama Malaysia dalam senarai untuk memastikan kami perlu visa atau tidak. Sememangnya ringan aje mulut aku nak memaklumkan yang kami memang dah buat thorough research on this matter. Takkanlah kitorang nak membabi buta masuk keluar negara orang tanpa memohon visa. Tapi disebabkan muka pegawai tu pun dah ketat semacam, aku diam aje la. Setelah puas hati yang kitorang tak perlu visa, dan setelah bertubi-tubi soalan ditanya pada kami secara berasingan (contohnya dari mana, nak ke mana, baca tentang Romania di mana etc),  kamipun dilepaskan ke balai berlepas dengan senyuman manis dan ucapan, have a safe flight to Bucharest. Alhamdulillah.
 


 
Penerbangan pagi ke Bucharest mengambil masa 1 jam 45 minit, macam dari KL ke Kuching. Romania menjadi destinasi kedua disebabkan terlalu banyak tulisan-tulisan negatif tentang tempat ini aku baca. Penceritaan yang negatif serta kemunduran yang digambarkan di Romania cukup membuatkan aku dan Kak Ana berminat untuk menyaksikan sendiri keadaan sebenar negara Romania ni. Romania yang amat sinonim dengan Vlad the Impaler atau Dracula merupakan sebuah negara bekas komunis yang meraih kemerdekaan pada akhir tahun 1989. Malahan revolusi yang menggulingkan pemerintah komunis tersohor, Nicolae Ceausescu seperti baru saja berlaku pada akhir abad ke 19. Tidak hairan jika negara ini masih bertatih dalam Kesatuan Eropah yang rata-rata terdiri daripada negara-negara maju. Penerbangan smooth walaupun hidung aku dinodai dengan bau perfume yang sangat kuat dari perempuan yang duduk di tepi tingkap sepanjang penerbangan (aku duduk di tengah. Kak Ana di tepi aisle sebab kakinya panjang sangat, tak selesa terkepit di tengah). Ya, cabaran kedua aku ialah menahan hidung selama 1 jam 45 minit. Walaupun aku agak kagum tengok hidung mancung terletak dan susuk tinggi lampai selim melim perempuan kat sebelah aku ni, tapi disebabkan bau perfume dia yang sangatlah menujah hidung, aku jadi pening pening lalat mulanya, dan bila dah half way ke Bucharest, aku jadi mabuk. Berbalik pada paras rupa perempuan kat sebelah aku tu, rupa-rupanya bila dah sampai ke Bucharest, barulah aku tahu yang memang majority perempuan muda di Eropah Timur ni semuanya rupa lebih kurang sama dengan potongan badan yang sama. Tak heran la bila kita selalu dengar, ramai model-model datang dari Eropah Timur. Memang dah lahir-lahir cantek diorang ni. Tinggi lampai, muka terletak dan yang paling penting, kurus. Hahaha..patut diorang kena keluar dari negara diorang dan cari makan modelling kat tempat lain sebab dah jadi takde market kat Eropah ni. Semuanya muka sama, dah takde variety wajah dah. Agaknya kalau ada yang macam Lupita Nyong dan wajah-wajah Asia cuba modelling kat sini, laku kot. Eksotik la katakan!
 
 
 matawang Lei, milik Negara Romania. Tengok muka diorang tu, semuanya serius betul. Diorang ni tak sempat senyum ni..
 
 
 
Suhu sejuk mencecah 15°C menyambut kedatangan aku ke Bucharest. Nama lapangan terbang ni pun dah berbelit nak menyebut, Aeroportul Internațional Henri Coandă. Nama lamanya Aeroportul Internațional București Otopeni atau dalam bahasa Inggerisnya ialah Bucharest Otopeni International Airport.
 
 Bandar Bucharest yang membuatkan aku speechless. Kenapa speechless? Haa..nanti aku cerita kat post lain ek..














 
Airport ni aku tak pasti berapa besar, tak sempat nak loading banyak sebab kepala aku masih menderita dari bau perfume minah sebelah aku dalam flite tu. Yang pasti cuaca sangat sejuk masa kami tiba tu. Turun flite menggunakan tangga macam kita naik FireFly tu. Di tarmac, ada shuttle bus menunggu untuk angkut penumpang ke dalam kawasan terminal. Sekali lagi aku berdiri sebelah minah pakai perfume tengik tu. Masuk je ke dalam bangunan terminal, kitorang kena beratur untuk cop passport. Ada lebih kurang 6-7 kaunter kastam dan barisan adalah sangat panjang. Aku tengok, rata-rata lelaki yang tengah berbaris tu selambe je pakai track suit, macam yang orang pakai pegi jogging. Teringat aku pada cerita Everything Is Illuminated (adaptasi novel Jonathan Safran Foer).  Dalam movie tu yang berlatarbelakangkan Odessa, Ukraine, dengan cuaca yang agak sejuk juga, watak penyanyi Gogol Bordello tu selambe je pakai track suit. Sebijik macam diorang kat dalam airport ni. Aku yang pakai jeans pun rasa sejuk yang amat. Sengih sorang-sorang dibuatnya.
 


 
 
Fakta penting: Untuk rakyat Malaysia masuk ke Romania, kita tak perlu memohon visa. Kita dapat visa on arrival, 90 hari tak silap aku. Kastam diorang pakai trenchcaot ok. Polis pun ada berkawal. (on second thought, aku pun tak pasti yang berkawal tu polis atau askar..). Kastam Romania memang serius dan sekali tengok memang rasa rasa seolah-olah Romania masih lagi sebuah negara komunis. Ditambah pulak dengan muka bengis pegawai yang berkawal, uniform warna olive green labuh yang dipakai, barisan manusia yang tengah menunggu giliran untuk pemeriksaan passport and soalan bertubi-tubi yang diajukan pada beberapa orang  di barisan hadapan aku, membuatkan takboleh tidak aku membayangkan inilah agaknya lebih kurang situasi berdekad yang lepas semasa di bawah rejim komunis. Bila rakyat sangat takutkan pihak berkuasa, di mana setiap tindakan atau perbuatan wajib dijustifikasikan dengan jawapan tepat yang memuaskan hati pihak berkuasa, bila setiap persoalan diajukan hendaklah dijawap pantas dan bila harta dikira sama rata hak semua.
 





 
 
Jadi, untuk mengelakkan kelambatan bersoal jawab, aku dan Kak Ana dah berpakat untuk bagitau maklumat yang sama; nama hostel, macamana tahu tentang Romania, dari mana, ke mana di dalam Romania, destinasi seterusnya dan anggaran masa di dalam Romania. Itu memang soalan basic kalau masuk ke Negara Eropah Timur ni. Pastikan slip tempahan atau pengesahan hostel korang print siap-siap, in case kastam nak tengok. So it happened, tibalah giliran kami berdua sebelah menyebelah. Serah saja passport, terus diorang belek. Membanggakan bila rupanya dia kenal Malaysia. Cuma soalan seterusnya menunjukkan dia pelik kenapa orang Malaysia sesat ke situ: kenapa datang ke Romania? Aku cakaplah nak melawat Romania dan memuji la keindahan semulajadi Romania yang aku baca dari majalah-majalah. Senyum je kastam tu. Lepas tu soalan tinggal di mana, berapa hari di Bucharest dan bila bergerak keluar dari bandar Bucharest atau Romania. Seperti jangkaan, bila sebut je nama hostel, diorang tanya kalau aku bawak print pengesahan hostel, nasib ada. Aku tunjukkan dan lepas diorang belek-belek dan tanya 2,3 soalan berkaitan lain, aku dilepaskan. Aku toleh ke kiri, Kak Ana pun dilepaskan; dengan cop Bucharest di passport.  Waktu lebih kurang sekitar jam 11 pagi dan kami melangkah ke terminal ketibaan. Dengan nama hostel dan print tunjuk arah bekalan dari hostel di tangan, aku dan Kak Ana memulakan langkah di bumi Romania. Another day, another journey.



 
Untuk kisah pencarian hostel dan our first glimpse of Romania, nanti aku sambung secepat yang mungkin. Sementara tu, silalah menjamu mata dengan gambar-gambar yang hado ni.
Sekian.
 
 

No comments:

Post a Comment