Monday, June 10, 2013

Bali

Trip ke Bali ini sudah lebih setahun berlalu. Selalu kalau mengembara, aku lebih selesa dalam jumlah yang sedikit, paling ramai 3 orang. Tapi untuk kali ini, aku pergi berlima, dengan semua sahabat baik sejak dari zaman buat foundation lagi. Jadi, cabaran untuk mengendalikan plan memang susah sikit sebab semuanya kena fikirkan untuk 5 orang. Perkara terpenting mestilah untuk tempahan tiket flight, hostel, tempat-tempat yang akan dikunjungi yang memerlukan tempahan awal serta beberapa perancangan lain lagi. Tapi bagi kembara ke Bali ini, Alhamdulillah semua berjalan lancar sebab setiap orang memberi kerjasama yang baik dan sama-sama buat research walaupun tidaklah selengkap mana.


Latarbelakang Bali

map pic credit to Lonely Planet
 
 
Pulau Bali terletak di antara Pulau Jawa dan Pulau Lombok, di dalam negara Indonesia. Bali sememangnya terkenal sebagai destinasi percutian pantai antara yang terindah di Asia Tenggara. Malahan pantai Kuta juga dikenali sebagai salah satu tempat meluncur ombak terkenal di Asia. Rata-rata penduduk Bali majoriti beragama Hindu, walaupun rupa paras mereka sama seperti bangsa Indonesia yang lain. Ini adalah daripada peninggalan Kerajaan Majapahit yang satu ketika dahulu menguasai hampir seluruh nusantara.

Terdapat 2 gunung berapi aktif yang sering menjadi tarikan pelancong ke Bali, iaitu Gunung Agung(kali terakhir meletus March 1963) dan Gunung Batur (terakhir meletus tahun 2000). Selain itu, industri pelancongan Bali pernah hampir lumpuh ekoran daripada tragedi pengeboman Bali pada 12 Oktober 2002 di Kuta. Pengeboman yang mengorbankan 202 nyawa serta mencederakan beratus yang lain meninggalkan kesan pahit kepada masyarakat Bali keseluruhannya.


Plan Bali

Memandangkan masa hanya 5 hari, kawasan yang dijelajahi kali ini hanyalah bahagian selatan dan timur Bali yang meliputi :

-Selatan Bali: Kuta, Denpasar, Jimbaran, Legian, Nusa Dua, Sanur, Seminyak, Tanah Lot
-Tengah Bali (Central Bali): Ubud, Bedugul, Tabanan
-Timur Bali: Besakih, Candidasa, Kintamani, Klungkung, Padang Bai, Tirta Gangga

Memandangkan cuaca Bali yang panas dan sangatlah tidak sesuai untuk kami berjalan kaki, maka sebulat suara sebuah MPV bersama pemandu dicari bagi memudahkan kembara kami sepanjang 5 hari di sana. Atas cadangan seorang kawan baik aku, Guntur dihubungi untuk mendapatkan khidmat beliau sebagai pemandu pelancong. Khidmat Guntur memang terbaik dan bonusnya, Guntur mahir mengendalikan kamera DSLR; sekaligus memberikan kami berlima peluang untuk bergambar sakan. jadi, kalau ada yang mahu ke Bali, boleh dapatkan khidmat Guntur (terbaik dari ladang!) ;-)


 
Inilah Guntur, Bali guide kami. Memang terbaik! Guntur boleh dihubungi di FB beliau: Achmad Guntur (Driver Guide Bali)


Sebenarnya, kalau pandai bermotosikal, lebih mudah di Bali. Boleh sewa motosikal, janji ada international license yang telah dipohon awal dengan JPJ dan pandai bawak motor. Tapi, memandangkan ada antara kami yang kurang pandai bawak motor, jadi langkah selamat ialah menyewa MPV. Lagipun, kalau tahu bawak motor pun tapi tak tahu jalan, susah jugak. Terutamanya kalau nak keluar dari kawasan Kuta dan Denpasar, lebih sesuai menggunakan kenderaan bertutup. Tapi, terpulanglah masing-masing punya selera. Mungkin bagi yang honeymoon, rasa romantik la kot kalau naik motor.


Aktiviti kami dan korang HARUS CUBA di Bali

- jalan-jalan di Kuta Beach
*ada budget lebih boleh ambil kelas surfing.

Kuta Beach



- aktiviti malam ke Hard Rock Cafe Bali, layan live band ^_^
*boleh beli cenderahati di Hard Rock Shop

- diving di Nusa Dua
*tak perlu lesen PADI. Siap ada pakej sekali dengan kelas diving untuk first timer, wet suit disediakan dan rakaman video semasa diving untuk kenangan

- kecak dance di Uluwatu
*kena datang awal sebelum pukul 6 petang untuk dapatkan tempat duduk hadapan (kebiasaannya  pelancong ramai)

Uluwatu



- tengok sawah padi di Tegallalang

Tegallalang




- barong dance di Ubud

- melihat gunung berapi aktif, Gunung Batur di Kintamani sambil menikmati makan tengahari
*boleh juga mendaki Gunung Batur. Pakej biasanya ada di hostel-hostel. kalau pergi dengan Guntur, dia bisa urus in dong! Tapi stamina mesti tinggi sebab gunung tu agak tinggi jugak.

Gunung Batur,Kintamani
 



- makan malam menghadap laut di Jimbaran Bay sambil diiringi penyanyi berkumpulan
*siap boleh request lagu lagi. Aku request lagu Broery la, Biar Bulan Bicara..

- sunset di Tanah Lot

Tanah Lot
 


- melawat ke Ground Zero, Kuta (memorial pengeboman Bali 2002)

Memorial Pengeboman Bali 2002


 

- setelah penat melakukan aktiviti-aktiviti di atas, boleh membelai diri dan kaki yang kepenatan di SPA
*spa-spa di Bali memang murah dan banyak sangat pilihan. Nak beli minyak urut pun ada.

inilah antara jenis-jenisminyak aromaterapi yang bersepah-sepah di Bali

 


-membeli belah sampai habis Rupiah di Krisna
*ini hypermarket besar ala Mydin tapi menjual semua produk Bali, terutamanya souvenier. Aku nasihatkan, korang beli je souvenier yang korang berkenan dekat sini sebab harganya memang murah dibandingkan di luar. (Pada aku la..terpulang la pada pilihan masing-masing)

Krisna- borong sampai habis!
 

Sebenarnya banyak lagi aktiviti dan tempat menarik yang lain, tapi ini apa yang aku dan kawan-kawan aku buat sepanjang 5 hari di Bali. Lain kali ada rezeki, insyaAllah aku nak ke bahagian Barat dan Utara Bali pulak untuk buat aktiviti lasak yang lain.


Shopping

Bagi aku, takde apa sangat yang boleh di'shopping'kan di Bali ni. Kalau souvenier dari seantero Bali, nak dapat dengan harga murah boleh beli di Krisna. Memang murah. Tapi kalau souvenier tu memang jenis susah nak dapat, beli saje lah di tempat yang memang korang jumpa. Takut nanti tak jumpa di Krisna, menyesal pulak.

Selain itu, Bali lah tempatnya untuk pemilik-pemilik spa memborong minyak aromaterapi pelbagai jenis dan lilin pelbagai bentuk. Pendekata, peralatan spa lain seperti garam mandian, sabun dan banyak lagi turut senang diperolehi di Bali.


ole-ole wajib dari Bali: yang ini kalau nak murah, beli kat Krisna je
 


ini pelapik gelas daripada plastik dan dasarnya ala-ala marmar. Ini memang tak jumpa di Krisna masa aku pegi dulu. Aku jumpa pelapik ni di Pasar Ubud. Ada banyak sangat corak yang menarik, naik juling mata aku memilih. Harga boleh tawar sampai penat dan sampai dapat ;-)
 

 

Lukisan-lukisan dengan pelbagai motif sangat banyak di Bali. Sememangnya Bali terkenal dengan pelukis-pelukis berbakat, malahan studio melukis ada hampir di setiap ceruk desa dengan produk seni yang pelbagai. Harganya memang berbaloi-baloi kalau nak dibandingkan dengan lukisan di IKEA. Tapi, untuk lukisan bermutu tinggi, aku kurang periksa pulak sebab aku sekadar membeli lukisan yang menarik dipandang dek mata aku, tak kiralah samada harganya murah sekalipun. Asal cantik, sudah..
*untuk lukisan yang biasa-biasa sekadar hiasan di rumah, boleh beli di Krisna saja, sebab banyak pilihan dan murah sangat-sangat. Cuma kalau beli di galeri macam dalam gambar ni, harganya mahal la sedikit dari di Krisna.

 
 
Itulah sedikit sebanyak tentang Bali yang dapat aku kongsikan. Adalah beberapa tempat yang pada aku unik di Bali ni, tapi itu insyaAllah akan aku kongsikan dalam post lain. 
 

 
“When you travel, remember that a foreign country is not designed to make you comfortable. It is designed to make its own people comfortable.”
- Clifton Fadiman

2 comments:

  1. aku kepingin bangat mao ke bali. pantas lantaran nonton eat pray love. tapi aku ketakutan. impak tsunami barangkali. amatur ya? hehehe

    ReplyDelete
  2. Best gile Bali ni. Tsunami takde kot. Takyah la main2 lebih kt pantai..

    ReplyDelete